52 premis diarah tutup ingkar SOP - Utusan Malaysia

52 premis diarah tutup ingkar SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam mengarahkan 52 premis ditutup kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan itu melaksanakan pemeriksaan ke atas 2,226 kilang selain 14,916 premis perniagaan, 1,005 tapak pembinaan dan 321 asrama pekerja.

Keseluruhannya, ujar Menteri Pertahanan itu, mereka berjaya melakukan 85,123 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan jumlah kekuatan seramai 19,891 anggota dari pelbagai agensi.

“Pihak kerajaan terus mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh ke atas kilang dan premis perniagaan kerana didapati banyak berlaku pelanggaran arahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, seorang pendatang asing tanpa izin ditahan dan dua kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng selain dua bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan pasukan keselamatan.

Ismail Sabri berkata, 417 individu diberkas kerana ingkar SOP dengan seramai 408 daripadanya dikompaun, manakala sembilan lagi direman hasil pemantauan yang membabitkan 85,123 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.

“Kesalahan tertinggi semalam ialah merentas kawasan dan makan di premis sebanyak 96 kes, diikuti tidak memakai pelitup muka (74 kes), tiada penjarakan fizikal (58), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (46), membawa penumpang secara berlebihan (34), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (97),” katanya.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 766 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 582 peruncit, 154 pemborong dan 31 pengilang selain melakukan sejumlah 1,776 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya 13 premis terbabit dikenakan kompaun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN