50 premis di Pasir Gudang kena kompaun - Utusan Malaysia

50 premis di Pasir Gudang kena kompaun

OPERASI Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP PKP 3.0 yang dilakukan dari masa ke semasa di kawasan Pentadbiran MBPG melibatkan pelbagai agensi di Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Sebanyak 50 premis perniagaan termasuk sebuah kilang memproses minyak sayuran dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh pada Jun lalu.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, tindakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap satu itu dikeluarkan sepanjang Operasi Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilakukan sepanjang bulan lalu.

Katanya, walaupun sudah lebih setahun PKP dilaksanakan, masih ada lagi pihak yang gagal mematuhi garis panduan asas dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebuah kilang pemprosesan minyak sayuran dikesan melanggar SOP apabila terdapat pekerjanya yang tidak mengimbas MySejahtera, bahkan tidak memakai pelitup muka.

“Pemeriksaan yang dibuat di premis perniagaan lain pula mendapati terdapat pengusaha yang tidak menyediakan pengimbas suhu dan tidak menyediakan buku log untuk pelanggan yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Asman Shah berkata, terdapat juga premis yang menjalankan perniagaan di luar tempoh masa yang dibenarkan sekaligus melanggar SOP yang telah ditetapkan.

Katanya, operasi pematuhan SOP tersebut akan diteruskan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) membabitkan semua premis perniagaan seperti kedai runcit, bengkel kenderaan, kedai makan serta kilang.

Dianggarkan seramai 20 anggota dan pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam operasi bersepadu dijalankan dari semasa ke semasa melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas Kementerian Kesihatan.

“MBPG dan agensi yang terlibat akan terus melaksanakan operasi terhadap semua sektor di bawah pentadbiran Bandaraya Pasir Gudang bagi memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi
dan PKP yang dilaksanakan berjaya mencapai matlamat pelaksanaannya seterusnya memutuskan rantaian Pandemik Covid-19 ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN