23 kilang diarah tutup, 471 individu ditahan ingkar SOP - Utusan Malaysia

23 kilang diarah tutup, 471 individu ditahan ingkar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 23 lagi kilang diarah tutup kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) iaitu antara 68 premis yang dikenakan tindakan sedemikian termasuk 43 premis perniagaan dan dua tapak pembinaan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan task force operasi pematuhan itu semalam melaksanakan pemeriksaan ke atas 2,257 kilang selain 15,256 premis perniagaan, 1,148 tapak pembinaan dan 286 asrama pekerja.

Keseluruhannya ujar beliau yang juga Menteri Pertahanan itu, mereka melakukan 80,827 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan jumlah kekuatan seramai 20,005 anggota daripada pelbagai agensi.

“11 pendatang asing tanpa izin ditahan dan tiga buah kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengesahkan, cuma tiga daripada 143 orang pekerja asing disahkan positif Covid-19 di seluruh negara semalam setelah melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 471 individu ditahan semalam dengan seramai 446 dikompaun, 16 direman dan sembilan dijamin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 632 peruncit, 157 pemborong dan 31 pengilang selain turut melakukan sejumlah 2,065 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya 10 premis terbabit yang dikenakan kompaun.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN