KUALA TERENGGANU: Sekumpulan 20 doktor kontrak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini menyertai tunjuk perasaan aman di pekarangan hospital hari ini.
Kesemua mereka yang berpakaian serba hitam sambil memegang plakad itu turut berarak kira-kira 10 minit dari pintu masuk utama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Kumpulan berkenaan mewakili lebih 200 doktor kontrak di HSNZ dan difahamkan mereka tidak bertugas pada hari ini selain diberikan pelepasan untuk menyertai mogok aman tersebut.
Wakilnya yang dikenali sebagai Dr. Amirah berkata, penyertaan mereka bukan untuk berkeras, sebaliknya mahu memberi sedikit tekanan kepada pihak berwajib bagi mencari jalan damai dalam isu tersebut.
“Niat kita untuk protes secara aman tanpa mengganggu tugasan hakiki. Tuntutan kita ada dua iaitu jawatan tetap di samping mahukan kriteria jelas mengenai pemilihan jawatan tetap.
“Kita percaya kesemua 200 doktor kontrak di HSNZ bersetuju dengan tindakan ini kerana tentunya kita memerlukan bukti hitam putih perjawatan tetap demi masa depan,” katanya kepada pemberita.
Menurut Dr. Amirah, antara kelompok paling lama doktor kontrak di HSNZ adalah daripada kohort Disember 2016 dengan seramai kira-kira 20 orang.
Katanya, kedudukan golongan terawal itu kini genting apabila kontrak mereka bakal tamat lima bulan lagi. -UTUSAN ONLINE