2 juruteknik ditipu sindiket pinjaman tidak wujud - Utusan Malaysia

2 juruteknik ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Dua juruteknik berputih mata apabila wang mereka berjumlah RM23,169.50 lesap selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud dalam dua kejadian berasingan di Kepala Batas, dekat sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada dua lelaki berusia 39 dan 29 tahun itu yang mendakwa ditipu individu yang menawarkan pinjaman menerusi aplikasi WhatsApp. 

Menurut beliau, mangsa pertama berusia 39 tahun yang mahu membuat pinjaman sebanyak RM35,000 dihubungi seorang ‘ejen’ bank yang memintanya memasukkan wang bayaran pengaktifan akaun terlebih dahulu. 

“Mangsa kemudiannya melakukan 11 transaksi ke dalam tujuh akaun berbeza membabitkan wang berjumlah RM19,169.50. 

“Bagaimanapun, mangsa yang mengesyaki sudah ditipu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 29 tahun kerugian RM4,000 selepas diperdaya sindiket penipuan menggunakan modus operandi sama. 

Noorzainy berkata, mangsa tertarik untuk membuat pinjaman sebanyak RM20,000 selepas dihubungi individu tidak dikenali yang menawarkan pinjaman peribadi. 

“Mangsa kemudiannya melakukan pindahan wang secara dalam talian ke dua akaun bank berbeza. 

“Laporan polis dibuat selepas mangsa masih belum menerima wang pinjaman yang dijanjikan,” katanya. 

Jelasnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN