140 rumah terjejas dilanda ribut, hujan lebat - Utusan Malaysia

140 rumah terjejas dilanda ribut, hujan lebat

SEBUAH rumah yang tercabut keseluruhan bumbung dalam kejadian ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka selepas ribut melanda tujuh buah kampung di Tanjung Sedili susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Tinggi, Mohd. Sarul Nizam Khirudin berkata, dianggarkan sebanyak 140 buah rumah terjejas dalam kejadian ribut yang berlaku kira-kira pukul 3 petang.

“Antara kampung terjejas adalah Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Taman Sedili dan Kampung Tanah Putih.

“Hujan lebat dan ribut yang berterusan lebih dua jam di beberapa kawasan sekitar Tanjung Sedili itu turut menyebabkan satu PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Setia Jaya Tanjung Sedili.

“PPS dibuka untuk menempatkan penduduk yang terjejas selepas kediaman mereka rosak akibat ribut yang berlaku,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, seramai 14 anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima laporan kejadian itu.

BOT ronda Maritim Malaysia yang sedang dibaiki turut rosak akibat dihempap besi dan struktur bumbung akibat angin kencang di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor.

Katanya, kira-kira 20 batang pokok tumbang di sepanjang jalan raya akibat kejadian hujan dan ribut yang berlaku.

“Pasukan keluaran operasi bertindak memotong pokok dengan menggunakan peralatan khas iaitu chain saw dan parang.

“Operasi turut dibantu oleh agensi lain iaitu Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) seramai empat orang dan juga lima anggota APM serta 20 penduduk kampung.

“Semua sisa pokok tumbang dipotong dan laluan jalan raya berjaya dibersihkan dan kita juga dimaklumkan insiden pokok tumbang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Sedili turut mengalami kerosakan akibat kejadian itu

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kerosakan dan kebocoran pada siling berlaku serta bumbung dan beberapa tingkap premis berkenaan turut pecah.

“Hujan lebat dan angin kencang disekitar kawasan Tanjung Sedili turut memberi kesan kepada sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam proses pembaikan di limbungan akibat dihempap besi dan bumbung yang runtuh ke atas bot tersebut.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit. Pengoperasian pusat operasi Zon Maritim Tanjung Sedili juga masih berjalan seperti biasa,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.