Sektor pembinaan dijangka catat pertumbuhan positif

Sektor pembinaan dijangka catat pertumbuhan positif

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan dijangka terus mencatat pertumbuhan positif sepanjang tahun ini, disokong oleh buku pesanan yang kekal kukuh, peningkatan pelaburan dalam projek pusat data serta pelaksanaan projek-projek infrastruktur berskala besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

MBSB Research berkata, kontraktor seperti SunCon, IJM, MRCB dan WCT terus menikmati peluang tender yang besar serta aliran projek baharu yang semakin bertambah. 

“Pada masa sama, Malayan Cement dan CMS dijangka terus mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti pembinaan di seluruh negara.

“Bagaimanapun, sektor pembinaan berdepan cabaran peningkatan kos bahan binaan, arang batu dan pengangkutan yang dijangka memberi tekanan kepada margin keuntungan dalam suku kedua dan ketiga 2026 sebelum kembali stabil secara beransur-ansur,” katanya dalam nota penyelidikan.

Di bawah senario asas, kenaikan kos bahan binaan antara 30 hingga 35 peratus berpotensi menghakis margin bersih syarikat antara dua hingga lima mata peratusan, khususnya jika 20 hingga 30 peratus kontrak sedia ada tidak dapat memindahkan sepenuhnya kos tambahan kepada pelanggan.

Dalam pada itu, harga purata besi tetulang di Malaysia meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut sehingga April 2026, dengan kenaikan 5.0 peratus bulan ke bulan kepada RM2,347.50 satu tan metrik. 

“Walaupun masih jauh lebih rendah berbanding paras tertinggi RM3,500 satu tan metrik yang dicatatkan pada April 2022, trend kenaikan tersebut mencerminkan pemulihan permintaan pasaran,” katanya.

Sementara itu, harga purata simen kekal pada RM410 satu tan metrik bagi bulan kelima berturut-turut sejak Disember 2025, disokong oleh permintaan daripada pembangunan industri dan projek pusat data.

“Namun begitu, tekanan kos input semakin ketara apabila kos arang batu meningkat kira-kira 3 peratus suku ke suku pada suku pertama tahun kewangan 2026, manakala kos elektrik naik 8 peratus dalam tempoh sama. 

“Kos pembelian arang batu juga dilaporkan meningkat kepada sekitar AS$90 (RM365.40) satu tan berbanding AS$65 (RM263.90) sebelum ini.

“Perkembangan itu berpotensi meningkatkan kos pengeluaran simen dan membawa kepada pelarasan harga sekiranya tekanan kos berterusan sehingga tahun 2027,” katanya. 

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan sektor pembinaan berkembang untuk suku ke-13 berturut-turut dengan pertumbuhan 8.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, walaupun lebih perlahan berbanding 10.3 peratus pada suku sebelumnya.

Nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan meningkat kepada RM46.5 bilion. 

Kejuruteraan awam kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai RM15.9 bilion atau 34.2 peratus daripada keseluruhan aktiviti pembinaan, diikuti bangunan bukan kediaman sebanyak RM13.9 bilion, bangunan kediaman RM10.5 bilion dan aktiviti perdagangan khas RM6.2 bilion.

Pertumbuhan sektor didorong terutamanya oleh aktiviti perdagangan khas yang melonjak 24.6 peratus serta bangunan bukan kediaman yang berkembang 12.7 peratus, termasuk projek pusat data yang semakin rancak.

Sektor swasta terus menjadi pemacu utama dengan sumbangan RM30.5 bilion atau 65.6 peratus daripada jumlah kerja pembinaan, manakala sektor awam menyumbang RM16 bilion.

Dari segi geografi, Selangor kekal sebagai pasaran pembinaan terbesar dengan nilai kerja RM10.9 bilion, diikuti Johor RM9.5 bilion, Wilayah Persekutuan RM4.8 bilion dan Sarawak RM4.6 bilion.

Data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut menunjukkan sebanyak 5,842 projek bernilai RM84.4 bilion telah dianugerahkan dalam tempoh lima bulan pertama 2026.

Secara keseluruhan, prospek sektor pembinaan dijangka terus bertambah baik pada separuh kedua tahun ini apabila projek-projek infrastruktur utama seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang mula dilaksanakan serta potensi penganugerahan sehingga enam projek pusat data berskala besar bernilai lebih RM1.5 bilion setiap satu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN