CIMB, China CITIC Bank perkukuh hubungan kewangan China, ASEAN - Utusan Malaysia

CIMB, China CITIC Bank perkukuh hubungan kewangan China, ASEAN

CHU Kok Wei (keempat dari kanan) semasa Majlis menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara CIMB Bank dengan China CITIC Bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) menandatangani surat hasrat (LOI) dengan China CITIC Bank Corporation Limited (China CITIC Bank) untuk memperkukuh hubungan kewangan antara China dan ASEAN, terutamanya di Malaysia dan Indonesia.

Kerjasama tersebut memudahkan perdagangan dua hala, pembiayaan rentas sempadan dan aliran pelaburan di seluruh rantau ini.

Kerjasama itu menggabungkan rangkaian kukuh China CITIC Bank di China dengan kehadiran meluas CIMB di ASEAN untuk menawarkan penyelesaian perbankan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan kedua-dua institusi kewangan.

Melalui kerjasama tersebut, pelanggan akan mendapat akses yang lebih lancar kepada pelbagai perkhidmatan termasuk transaksi perdagangan, pembayaran dan pembiayaan rentas sempadan bagi menyokong keperluan operasi serta pengembangan perniagaan mereka.

Selain itu, kerjasama berkenaan turut merangkumi sokongan kepada keupayaan pembayaran dan penjelasan dalam Renminbi (RMB) serta mata wang asing, termasuk potensi akses kepada Sistem Pembayaran Antara Bank Rentas Sempadan China (CIPS), pengaturan pembiayaan antara bank dalam RMB dan kemudahan pinjaman luar pesisir ke pasaran ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata, hubungan perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan antara China dan ASEAN yang semakin erat mewujudkan keperluan kepada rakan perbankan yang mampu menghubungkan kedua-dua pasaran dengan lebih berkesan.

“CIMB mempunyai kehadiran kukuh di ASEAN dan berada pada kedudukan terbaik untuk menghubungkan pelanggan kepada peluang di koridor China-ASEAN menerusi keupayaan perdagangan, pembiayaan dan perbankan rentas sempadan yang lebih bersepadu.

“Dengan memperkukuh hubungan kami dalam ekosistem kewangan China, CIMB dapat menyokong pelanggan mempercepatkan akses pasaran, mengurus kerumitan urus niaga rentas sempadan dan merealisasikan aspirasi pertumbuhan serantau mereka dalam salah satu ekonomi terbesar dan paling dinamik di dunia,” katanya dalam kenyataan.

CIMB berkata, inisiatif itu dijangka memperkukuh lagi hubungan kewangan antara China dan negara-negara ASEAN yang semakin berkembang pesat dari segi perdagangan dan pelaburan.

Tambahnya, kedua-dua bank juga akan meneroka kerjasama pada peringkat ibu pejabat bagi memperkemas pengurusan perbendaharaan dan tunai rentas sempadan, termasuk urusan pembukaan, penyelenggaraan dan pengurusan akaun untuk perusahaan tempatan.

“Langkah itu dijangka meningkatkan koordinasi operasi antara ibu pejabat dan cawangan kedua-dua bank, sekali gus membolehkan pelanggan mengurus transaksi rentas sempadan dengan lebih cekap ketika memperluaskan operasi di koridor China-ASEAN.

“Dalam pada itu, CIMB dan China CITIC Bank akan bekerjasama dalam menyokong pengembangan perniagaan pelanggan ke pasaran China dan ASEAN melalui rujukan pelanggan bersama serta perkhidmatan nasihat berkaitan kemasukan pasaran, pematuhan peraturan, pelaksanaan transaksi rentas sempadan dan peluang penggabungan serta pengambilalihan (M&A),” katanya.

Jelasnya, kedua-dua institusi juga akan meneroka kerjasama dalam pembiayaan pinjaman bersindiket di pasaran utama dan sekunder global bagi memperluaskan akses pelanggan kepada peluang pembiayaan serantau dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN