Vaksinasi di Melaka selesai selewatnya November - Utusan Malaysia

Vaksinasi di Melaka selesai selewatnya November

KHAIRY JAMALUDDIN (kanan) bersama Sulaiman Md. Ali bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar mesyuarat CITF di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Program vaksinasi Covid-19 di negeri ini dijangka selesai selewat-lewatnya bulan November.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Melaka telah menerima hampir 200,000 dos vaksin bagi tempoh Februari sehingga kini dan akan menerima 368,000 dos lagi pada Julai.

Menurut beliau, pertambahan dos itu membolehkan kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan kepada 13,000 dos sehari secara berperingkat berbanding purata harian semasa sebanyak 7,000 dos.

“Peningkatan pemberian dos suntikan ini turut dipacu oleh pertambahan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) awam, PPV hospital swasta dan PPV General Practitioner (PPVGP).

“Selain itu, pembukaan PPV industri untuk sektor perkilangan yang akan diumumkan kelak dapat mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Sementara itu, mengenai pemberian vaksin kepada pemain industri pelancongan di Melaka, Khairy memberitahu, sektor berkenaan akan diberi pertimbangan apabila negara memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelasnya, buat masa ini, fokus diberikan kepada kilang-kilang yang terpaksa beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketua Menteri sangat prihatin kepada pembukaan semula ekonomi yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan, peruncitan dan lain-lain.

“Kita akan teliti perkara ini apabila beralih fasa. Saya beri jaminan akan bantu Melaka mempercepatkan program vaksinasi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN