KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menolak penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang disifatkan tidak akan membawa kestabilan politik di negara ini.
Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, penubuhan Mageran hanya membabitkan sekumpulan profesional yang ditubuhkan tanpa melibatkan rakyat atau Parlimen.
Beliau berkata, Mageran juga hanya bergantung kepada kebijaksanaan ahli-ahli dalam majlis tersebut yang aman mereka tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. Apabila kesilapan berlaku, ia akan mengundang kemarahan dalam kalangan rakyat.
“Bila rakyat sudah memberontak, kemarahan itu bukan hanya kepada kepimpinan negara sahaja tetapi, ia mungkin sampai kepada raja.
“Atas sebab itulah kita menolak penubuhan Mageran,” katanya semasa sidang media secara dalam talian hari ini.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara dalam talian pada 2.30 petang tadi.
Madius juga memaklumkan kepada Agong tentang pendirian UPKO yang mahukan darurat ditamatkan dengan serta merta bagi membolehkan Parlimen bersidang.
“Parlimen perlu bersidang untuk memberi ruang kepada ahli Parlimen menyuarakan masalah rakyat di kawasan masing-masing dalam berdepan pandemik Covid-19.
“Di peringkat Parlimen juga perlu menubuhkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan setiap dasar kerajaan dibincangkan secara terperinci oleh ahli Parlimen yang berada dalam jawatankuasa tersebut,” katanya.
Dalam sesi pertemuan itu, UPKO mengemukakan sembilan cadangan kepada Agong bagi menangani dan menyelesaikan isu berkaitan penularan Covid-19.
Pemimpin-pemimpin politik mula dipanggil ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula 9 Jun dan dimulakan dengan pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diikuti dengan pemimpin-pemimpin lain.- UTUSAN ONLINE










