KUALA TERENGGANU: Bekas calon bebas, Maimun Yusuf atau lebih dikenali sebagai tok Mun pernah disuruh menjual tanah pusakanya untuk mendapatkan wang bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Maimun yang kini berusia 102 tahun berkata, perkara itu bagaimanapun belum difikirkan lagi berikutan penutupan operasi jabatan berkaitan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya mempunyai sumber kewangan mencukupi, dia tidak serik untuk bersaing sekali lagi dalam PRU akan datang dengan menggunakan simbol istana.
“Ada orang cakap bertanding (PRU) sudah dekat pada tahun depan, tetapi saya takdok (tiada) pitih (duit) dan disuruh jual tanah.
“Kalau ada pitih, saya masuk lagi sebab memegang amanah orang,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Atas Tol di sini semalam.
Maimun yang merupakan calon tertua pada PRU-12 hilang wang pertaruhan selepas meraih cuma 685 undi di kerusi Parlimen Kuala Terengganu menentang Mohamad Sabu (Pas) dan Allahyarham Datuk Razali Ismail (Barisan Nasional).
Nenek kepada tujuh cucu yang berkempen dengan menaiki basikal itu sekali lagi menjadi calon bebas di kerusi sama pada PRU-13, namun tetap berdepan nasib sama, malah hasratnya bertanding pada PRU lalu terkubur akibat ketiadaan wang.
Dalam perkembangan lain, Maimun memberitahu, dia masih belum menerima vaksin Covid-19 berikutan takut dengan jarum suntikan.
Katanya, walaupun usia kini melebihi satu abad dan semakin uzur, tetapi, tahap kesihatannya masih baik tanpa sebarang penyakit.
“Tak ada amalan apa-apa, cuma, saya tak makan makanan yang dibeli di kedai sejak dari muda dan hanya memasak di rumah,” katanya. -UTUSAN ONLINE