PONTIAN: Meskipun dibenarkan untuk terus beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini, kantung pemandu teksi di daerah ini tetap berkurangan ekoran ketiadaan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Malah, daripada 70 pemandu teksi yang berdaftar dengan Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian, hanya 20 daripada mereka yang masih sanggup menunggu berjam-jam bagi mendapatkan sekurang-kurangnya seorang penumpang setiap hari.
Manakala 50 lagi ahli persatuan itu sudah tidak mampu menanggung kos operasi dan bertindak menggantung kunci kereta ekoran kekurangan penumpang yang drastik terutamanya di Terminal Pengangkutan Awam Pontian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi persatuan itu, Abd. Hakam Mohd. Yunos berkata, penutupan operasi feri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup Laut dan ketiadaan pelancong telah memberikan kesan kepada aktiviti pengangkutan awam terutama kereta sewa dan teksi di daerah itu.
“Jika sebelum ini ada juga perkhidmatan membawa mereka yang hendak pulang ke Indonesia atau yang ingin ke lokasi lain menggunakan kereta sewa (teksi), tetapi ia kini sudah tiada lagi kerana tiada feri beroperasi.
“Hanya tinggal beberapa pemandu yang masih bertahan di terminal ini untuk mendapatkan penumpang walaupun terpaksa menunggu berjam-jam tetapi selebihnya yang mungkin ada sumber pendapatan lain atau sampingan memilih untuk menggantung kunci,” katanya di sini baru-baru ini.
Tambah Abd. Hakam, mereka juga tidak boleh mengharapkan penduduk tempatan sahaja yang menggunakan perkhidmatan untuk pergi bekerja kerana ramai yang kini tidak ke pejabat kerana bekerja dari rumah.
“Dahulu pun sebelum total lockdown hanya pada waktu pergi dan pulang kerja sahaja ramai penumpang menaiki teksi dan pada masa lain memang amat sukar untuk memperolehi walaupun cuma seorang penumpang.
“Sebaliknya, mereka (pemandu teksi) yang terpaksa meneruskan operasi harian ini juga kerana telah menyewa kenderaan dan terpaksa keluar mencari penumpang bagi membayar sewa harian,” ujarnya.
Bagaimanapun jelasnya, untuk mendapatkan RM30 sehari pun agak sukar ketika ini dan mereka terpaksa menunggu lama dengan harapan ada penumpang yang memerlukan perkhidmatan untuk ke pusat bandar dan sebagainya.
Katanya, ketiadaan sumber pendapatan para pemandu teksi atau kereta sewa itu juga telah menjejaskan kewangan persatuan yang biasanya akan memperolehi lebih RM100 sehari tetapi kini mahu mencecah RM20 pun belum tentu.
“Saya terpaksa merayu kepada mana-mana wakil-wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu rakan-rakan pemandu dalam bentuk barangan keperluan atau kewangan bagi meringankan beban kewangan mereka, tambahnya.
Kata Abd. Hakam, mujur bayaran sewa tapak dan pejabat di Terminal Pengangkutan Awam Pontian sebanyak RM400 sebulan dikecualikan sehingga penghujung tahun ini oleh Majlis Daerah Pontian (MDP). -UTUSAN ONLINE










