Tetap cemerlang walaupun berdepan cabaran Covid-19 dan PdPR - Utusan Malaysia

Tetap cemerlang walaupun berdepan cabaran Covid-19 dan PdPR

ILHAAM Zoulfa Hasan menunjukkan keputusan peperiksaan SPM 2020 di paparan skrin telefon bimbit dirumahnya di Taman Guru, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/AINAL MARHATON ABD GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Sepanjang peperiksaan berlangsung saya memang rasa tidak bersemangat dan malas mengulangkaji pelajaran, namun, saya bangkit dan teruskan perjuangan kerana keinginan untuk menyambung pengajian di luar negara sangat tinggi,” kata Ilhaam Zoulfa Hasan,18.

Bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan itu berkata, semangatnya mulai luntur sejak penangguhan SPM kali pertama pada 5 Oktober 2020 dan pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, sejak PdPR, dia perlu membahagikan masa dengan bijak, mempunyai ketahanan mental yang kuat dan menyiapkan tugasan dalam tempoh ditetapkan.

“Saya akui, bukan mudah belajar secara dalam talian kerana ada ketika talian internet terganggu dan situasi ini turut mengganggu fokus menyiapkan tugasan sekolah yang guru berikan.

“Namun, saya bersyukur dan terharu apabila memperoleh 8A 1B,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Guru di sini hari ini.

Ilhaam Zoulfa memperoleh A+ untuk subjek Matematik dan Kimia; Biologi dan Sejarah (A-); Bahasa Inggeris, Fizik, Pendidikan Islam dan Matematik Tambahan (A) dan Bahasa Melayu (B).

Anak kelima daripada lapan beradik yang bercita-cita menjadi jurutera perisian itu bagaimanapun tidak menafikan PdPR di rumah ada baik dan buruknya.

“Kita boleh bertanya soalan pada guru pada bila-bila masa sahaja sama ada di dalam kelas ‘online’ atau aplikasi WhatApps, namun, timbul masalah apabila berdepan masalah talian internet.

“Bagaimanapun, saya agak kecewa kerana tidak biasa dengan kelas secara dalam talian kerana duduk asrama. Teapi itu semua bukan alasan untuk kita tidak mahu belajar,” katanya.

Anak kepada pasangan Dr. Hassan Ahmad, 55 dan Norshihan Mohd. Sood, 48, berkata, pelbagai halangan terpaksa ditempuhi dalam melakukan persiapan SPM.

“Sekejap ke sekolah, sekejap di rumah, berdepan pula dengan musibah banjir dan penularan Covid-19 secara tidak langsung membuatkan calon SPM berada dalam dilema kerana bimbang tidak dapat menghabiskan silibus sebelum peperiksaan.

“Namun, kini dengan keputusan yang saya peroleh, saya cukup berkeyakinan bahawa jika kita melihat daripada sudut pandang yang baik, kita mempunyai masa yang mencukupi untuk menelaah pelajaran supaya lebih faham kerana mempunyai masa yang lebih banyak di rumah,” katanya.

Ilham Zoulfa berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan perisian dan bercadang memohon biasisawa untuk belajar di luar negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya