Tiada gajet canggih tak halang lima beradik ikuti PdPR - Utusan Malaysia

Tiada gajet canggih tak halang lima beradik ikuti PdPR

KEHIDUPAN yang serba kekurangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Mohamad Shahril Md. Sirad di Butterworth, Pulau Pinang untuk mengikuti sesi PdPR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Meskipun tidak memiliki sebarang peranti mudah alih yang canggih seperti rakan sebaya lain, lima beradik di sini tidak luntur semangat untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di rumah (PdPR).

Bapa mereka, Mohamad Shahril Md. Sirad, 35, berkata, ketika ini, lima daripada enam anaknya yang berusia antara tujuh hingga 13 tahun hanya berkongsi telefon pintar milik ibu mereka, Siti Nur Idayu Anuar, 37, untuk mengikuti sesi tersebut.

Bagaimanapun katanya, adakalanya telefon tersebut tidak dapat digunakan kerana Siti Nur Idayu terpaksa mengambil tempahan daripada pelanggan untuk perniagaan kecil-kecilan yang mereka usahakan secara dalam talian ketika ini.

“Alhamdulillah, guru-guru mereka faham keadaan kami sekeluarga yang tidak mampu menyediakan gajet canggih seperti telefon bimbit dan komputer riba untuk PdPR.

“Sebab itulah awal bulan lalu, mereka datang ke rumah untuk menghantar kertas-kertas latihan bagi memastikan anak kami tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Anak sulung pasangan terbabit iaitu Muhamad Danil Mukhlis, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn di Prai dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kategori lembam manakala dua daripada lima lagi adiknya iaitu Muhammad Harith Rayyan, 10, dan Muhammad Zaffri Zidane, 9, tergolong dalam kategori kanak-kanak hiperaktif.

Menurut Mohamad Shahril yang melakukan pelbagai kerja kampung, selain membuat latih tubi menerusi kertas-kertas latihan yang dibekalkan oleh guru, dia bersyukur kerana anak-anaknya juga gemar menonton televisyen pendidikan Didik TV.

Dalam pada itu, Siti Nur Idayu yang mengambil upah mengait benang yang kemudian dijual secara dalam talian bersyukur kerana anak-anaknya masih mahu belajar walaupun hidup serba kekurangan.

“Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kelima-lima mereka ada mengikuti kelas tuisyen percuma yang dibuat oleh seorang cikgu bersara.

“Tapi sekarang, mereka terpaksa belajar sendiri dan kami hanya membantu setakat termampu kerana cara belajar dulu dan sekarang banyak bezanya,” katanya yang mempunyai masalah asma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN