KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perbincangan atau pertemuan bersama pemimpin tertinggi PKR dan UMNO mengenai desas-desus mengatakan parti itu bekerjasama membentuk jajaran politik baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya atau gabungan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengorak langkah awal dalam soal kerjasama berkenaan.
“Saya dan wakil-wakil DAP atau PH tidak pernah berjumpa secara rasmi dengan mana-mana pemimpin. Soal PKR sama ada ada berjumpa atau tidak kena tanya mereka sendiri sebab itu hal mereka.
“Dan saya ingin mengulangi kenyataan saya sebelum ini, DAP atau PH juga boleh bekerjasama dengan parti tidak kira pembangkang atau kerajaan jika melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cakap-cakap berlaku pertemuan antara pemimpin DAP dan PKR bersama UMNO pada ketika parti keramat Melayu itu kini menjadi sebahagian daripada kerajaan mentadbir.
Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.
Antara lain, pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini menegaskan pendirian mereka menentang sebarang rancangan melibatkan PKR atau DAP.
Dalam ucapan Amanat Khas, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebooknya kelmarin, beliau berkata, PKR tidak boleh terlalu keras dan menolak segala bentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik ada sama kerajaan atau pembangkang.
Kenyataan itu tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus namun, terdahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata Pejuang mungkin tidak akan membentuk kerjasama pilihan raya dengan PH.
Ditanya tentang perkara itu, kata Guan Eng, DAP telah membuat keputusan untuk membina ‘khemah’ lebih besar yang disertai parti-parti politik pembangkang di samping menyokong prinsip urus tadbir yang baik.
“Tetapi, dilihat PKR sendiri tak mahu bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan parti Ikatan Demokratik Malaysia. Jadi, saya rasa ini yang Anwar maksudkan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled juga menafikan adanya pertemuan itu dan secara ringkas berkata: “Setahu saya tiada,” – UTUSAN ONLINE










