KUALA LUMPUR: Dua penyanyi popular tanah air mengharungi nasib berbeza meneruskan hidup dalam suasana pandemik Covid-19 ekoran tidak lagi menerima tawaran membuat persembahan yang selama ini menjadi sumber pendapatan.
Penyanyi popular era 80-an, Datuk Syed Sobrie Syed Kechik, mengaku kehidupannya tidak seindah yang disangka peminat walaupun sebelum ini ramai tahu dia sering menerima tawaran menyanyi di istana termasuk majlis-majlis tertutup.
Berbeza pula bagi Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah yang bersyukur kerana sikap berjimat cermat serta menyimpan sebelum ini membantu kelangsungan hidupnya dan keluarga.

Jamal, 63, berkata, ketika dirinya dihujani dengan tawaran persembahan, dia lebih banyak menyimpan dan mencari peluang perniagaan kerana sedar industri seni tidak akan menjanjikan pendapatan berterusan hingga ke akhir hayat.
Bagi Sobrie yang kini berusia 59 tahun, tidak mempunyai pendapatan tentunya menyukarkannya untuk menjalani kehidupan lantaran masih memikul tanggungjawab untuk membayar hutang kereta dan bil-bil keperluan semasa.
“Saya sudah begini sebelum pandemik tercetus lagi. Sejak berlaku peralihan kerajaan tiga tahun lalu, saya tidak mempunyai punca pendapatan. Tiada lagi jemputan menyanyi atau projek-projek tertentu.
“Ketika awalnya saya boleh lagi meneruskan hidup sebab bernasib baik kerana ada duit simpanan. Tetapi sekarang keadaan semakin menekan sehingga saya terpaksa sentuh juga duit dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).
“Tapi sudah namanya duit. Bukit pun kalau ditarah lama-lama akan habis juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, menurut Sobri, keadaan kesihatannya juga tidak begitu baik memandangkan sejak tiga tahun lalu juga dia diserang penyakit strok dan memerlukan rawatan secara berkala.
“Mungkin juga kerana terlalu stres tak ada punca pendapatan maka tiba-tiba saya terkena strok. Kemudian, keadaan pula semakin sukar apabila dua minggu kemudian, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0,” katanya.
Jamal bersyukur kerana dia bukan jenis kaki enjoy malah lebih suka menyimpan dan mencari pelaburan yang bagus untuk tambah pendapatan. Setakat ini, hasil pelaburan tersebut boleh menyara hidup keluarga selain mempunyai pendapatan daripada usaha ladang ternakan ikan.
“Sedikit sebanyak semua itu membantu. Kalau ikutkan sekarang, saya pun tidaklah terima semua tawaran persembahan. Ini semua kerana duit dividen hasil pelaburan pun sudah mencukupi. Saya hidup sederhana sahaja,” katanya.










