Surat layak daftar 36 IPT perubatan ditangguh - Utusan Malaysia

Surat layak daftar 36 IPT perubatan ditangguh

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Perubatan Malaysia (MPM) memutuskan untuk menangguhkan semua permohonan surat layak daftar dan Sijil Pendaftaran Sementara kepada graduan perubatan daripada 36 institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara.

Keputusan itu dibuat setelah badan tersebut mengesan IPT terlibat mempunyai perbezaan pada nama kelayakan dan nama institusi pada skrol ijazah asas perubatan daripada yang diwartakan dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan) 2021.

MPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Penasihat Undang-Undang (PUU) Kementerian Kesihatan bagi menyemak draf Perintah Perubatan (Jadual Kedua).

Katanya, maklum balas daripada PPU menyatakan sekiranya perbezaan pada nama kelayakan dan institusi menjadi punca dari kesilapan bersifat editorial, ia tidak menjejaskan atau menyebabkan kekeliruan dalam mengenal pasti institusi dan kelayakan tersebut.

“Maka MPM boleh melaksanakan pendaftaran di bawah Seksyen 12 Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sementara menunggu kesilapan editorial tersebut dipinda dan diwartakan.

“Antara lain, tujuan pengesanan dan penangguhan ini dilaksanakan adalah supaya tidak berlakunya isu-isu berbangkit pada masa akan datang sekiranya pengamal perubatan ingin memohon pendaftaran dengan MPM contohnya permohonan Pendaftaran Penuh dan Pendaftaran Pakar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Untuk rekod, daripada 36 institusi itu, lima universiti tempatan terlibat ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Taylor’s University.

Pun begitu, kata MPM, dalam mesyuarat Jawatankuasa Penilaian (JKP 1) Bil. 6/2021 yang bersidang semalam, Majlis mendapat syor mana-mana pengamal perubatan daripada institusi terlibat dengan kesilapan editorial dan telah berdaftar dengan MPM sebelum pembetulan dan pewartaan dilakukan adalah sah dberdaftar di sisi undang-undang.

Katanya kenyataan itu lagi, mesyuarat juga bersetuju mengesyorkan kepada Mesyuarat MOM ke-407 yang akan bersidang 22 Jun nanti bagi membenarkan proses Pendaftaran Sementara diteruskan serta merta kepada graduan daripada 36 institusi tersebut.

“Bagi graduan-graduan daripada institusi yang disenaraikan seperti di Lampiran A boleh mengemukakan permohonan Pendaftaran Sementara bermula hari ini melalui sistem Medical Register Information and Technical System (MeRITS),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN