SPM 2020: Anak operator kilang dapat 9A - Utusan Malaysia

SPM 2020: Anak operator kilang dapat 9A

PADILAH Mohamed (kanan) mencium Nur Alia Maisarah Razmin selepas melihat keputusan SPM anaknya yang cemerlang di rumah mereka di Taman Pasak Indah di Kota Tinggi, Johor. semalam -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Anak operator kilang berjaya membuktikan kejayaan mampu diraih oleh sesiapa sahaja asalkan disusuli dengan usaha yang gigih, buktinya, Nur Alia Maisarah Razmin mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumum semalam.

Nur Alia, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laksamana berkata, ibunya, Padilah Mohamed, 51, dan bapanya Razmin Raub, 54, merupakan tulang belakang bagi kejayaan yang dikecapi itu.

Selain itu katanya, kakaknya, Dr. Nur Izzati juga merupakan sumber inspirasi baginya untuk dia belajar dengan tekun seterusnya mendapat keputusan cemerlang.

“Alhamdulillah keluarga banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini. Apa yang saya lakukan hanyalah fokus ketika belajar. Apa sahaja yang tidak faham saya akan ajukan kepada guru. Biasanya waktu belajar saya akan beri tumpuan pada waktu pagi dan petang. Malam saya tidak belajar kerana mengantuk.

“Kakak merupakan ‘role model’ bagi saya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh kerana saya mahu mencapai kejayaan seperti dia namun tidak mahu menjadi doktor kerana saya minat dalam bidang forensik kimia,” katanya ketika ditemui di di Taman Pasak Indah di sini, semalam.

Sementara itu, Padilah berkata, antara rahsia dia dan suami berjaya mendidik anak-anaknya sehingga berjaya adalah ketegasan dalam pelajaran mereka.

“Seawal usia tiga tahun saya telah mendedahkan anak-anak dengan ilmu kerana mahu mereka menjadi orang yang pandai. Apabila cuti sekolah saya akan pastikan anak-anak ulangkaji pelajaran kira-kira satu jam setiap pagi sebelum benarkan mereka bermain atau menonton televisyen.

“Bahkan bila balik kampung saya juga akan bekalkan anak-anak dengan buku. Itu saya praktikkan sejak mereka berusia empat tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.