Serba Dinamik: PNB nyatakan kebimbangan - Utusan Malaysia

Serba Dinamik: PNB nyatakan kebimbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurus dana terbesar Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyatakan kebimbangan terhadap masalah yang melanda Serba Dinamik Holdings Berhad  berkaitan audit kewangannya.

PNB dilaporkan telah memaklumkan syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu bahawa mereka tiada merit untuk menyingkirkan juruaudit yang dilantik sebelum melengkapkan audit tahunannya.

PNB dilaporkan berkata, pihaknya mempunyai hak mengundi untuk menolak sebarang resolusi bagi menggantikan juruaudit sedia ada.

“PNB telah memaklumkan Lembaga Pengarah syarikat itu  mengenai kebimbangannya terhadap situasi semasa,” katanya seperti dipetik Reuters.

Terdahulu, firma audit KPMG didedahkan tidak dapat mengesahkan kontrak dan transaksi berjumlah RM3.5 bilion dengan 11 pelanggannya sehingga mendorong Suruhanjaya Sekuriti menjalankan siasatan.

Serba Dinamik menolak dakwaan tersebut dan menegaskan tiada isu berhubung kontrak berkenaan. Syarikat itu merancang untuk melantik firma bebas bagi menyemak semula perkara itu.

Jumaat lalu, pemegang saham kedua terbesar dan pengarah bukan bebas bukan eksekutif Serba Dinamik, Datuk Abdul Kadier Sahib mengemukakan notis kepada syarikat untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menggantikan KPMG dengan BDO PLT bagi audit laporan kewangan berakhir 30 Jun tahun ini.

Saham Serba Dinamik jatuh kira-kira 46 peratus daripada nilai mereka minggu ini. Syarikat itu diniagakan lebih tinggi 3.6 peratus pada hari Rabu setelah mengalami kerugian besar dalam dua sesi terakhir.

Kelmarin, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah, telah meningkatkan pegangan sahamnya syarikat itu.

Pemegang saham terbesar itu memperoleh lagi lima juta saham menerusi pasaran terbuka pada Isnin. Kini beliau memiliki 29.07 peratus pegangan dalam Serba Dinamik bersamaan dengan 1 bilion saham.

Manakala, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula memiliki 10.15 peratus pegangan diikuti Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 5.25 peratus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN