SINGAPURA: Kapal tangki minyak mula mengelak daripada melalui Selat Hormuz menjelang sekatan laut oleh Amerika Syarikat (AS) yang dijangka bermula pada Isnin, menurut data perkapalan.
Presiden, Donald Trump berkata, Tentera Laut AS akan melaksanakan sekatan di selat tersebut, sekali gus meningkatkan ketegangan selepas rundingan damai dengan Iran pada hujung minggu gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan perang, sekali gus menggugat gencatan senjata rapuh selama dua minggu.
Markas Pusat AS (CETCOM) memaklumkan sekatan ke atas semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran akan bermula pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) Isnin.
Menurut kenyataan itu, sekatan akan dikuatkuasakan secara adil terhadap kapal dari semua negara yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran serta kawasan pesisirnya, termasuk pelabuhan di Teluk Arab dan Teluk Oman.
Bagaimanapun, pasukan AS tidak akan menghalang kebebasan pelayaran bagi kapal yang melalui Selat Hormuz ke arah dan dari pelabuhan bukan Iran, dan maklumat lanjut akan diberikan kepada pengendali kapal melalui notis rasmi sebelum sekatan bermula.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran mana-mana kapal tentera yang cuba menghampiri Selat Hormuz akan dianggap melanggar gencatan senjata dan akan ditindak dengan tegas dan keras.
Menurut Reuters, data daripada LSEG dan Kpler menunjukkan kapal tangki berbendera Pakistan, Shalamar dan Khairpur, memasuki Teluk pada Ahad.
Kapal jenis Aframax, Shalamar, dijadual menuju ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memuatkan minyak mentah Das, manakala Khairpur yang bersaiz Panamax menuju ke Kuwait untuk mengambil produk petroleum bertapis.
Sementara itu, kapal pengangkut minyak mentah gergasi (VLCC) berbendera Liberia, Mombasa B, dilaporkan sudah dikosongkan di Teluk selepas melalui selat itu pada Ahad.
Sebuah lagi VLCC berbendera Malta, Agios Fanourios I, yang cuba melalui selat tersebut untuk memasuki Teluk bagi memuatkan minyak mentah Basra dari Iraq ke Vietnam, dilaporkan berpatah balik dan kini berlabuh berhampiran Teluk Oman.
Walaupun kebuntuan berterusan, tiga kapal tangki minyak gergasi yang sarat muatan dilaporkan berjaya melalui Selat Hormuz pada Sabtu, dipercayai antara kapal pertama yang keluar dari Teluk sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai minggu lalu.











