Saman Steven Sim ke atas Kamarul ditolak - Utusan Malaysia

Saman Steven Sim ke atas Kamarul ditolak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha Ahli Parlimen DAP, Steven Sim menyaman Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff menerima tamparan apabila writ saman beliau yang difailkan pada 19 Mei lalu ditolak oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi Georgetown, L. Umma Devi, hari ini.  

Peguambela Kamarul Zaman, Harris Mohan Abdullah berkata, beliau membuat bantahan ke atas writ saman yang difailkan oleh peguambela Steven Sim, R. Nethaji Rayer, dalam pengurusan kes berkenaan pagi ini kerana mendapati ia mengalami kecacatan.

“Dalam pengurusan kes pagi ini, Pendaftar Mahkamah Tinggi Georgetown bersetuju dengan bantahan saya bahawa writ itu cacat kerana salah kod menyebabkan Steven Sim, yang diperintahkan membayar kos kepada Kamarul, menarik balik writ itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula pada masa depan. Selainnya Writ tersebut juga tidak ada teste.

“Saya tidak faham bagaimana seorang peguam seperti Rayer yang Ahli Parlimen DAP Jelutong boleh membuat kecacatan begitu, dan ini adalah satu kemenangan moral kepada Kamarul di dalam meneruskan saman kepada pihak-pihak yang memfitnah beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 April lalu, Steven Sim mengarahkan peguam beliau untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kamarul setelah beliau amat terkesan dengan fitnah dan tohmahan yang didakwa merosakkan nama beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.

Dalam writ yang dikemukakan kepada Kamarul, Steven Sim menyebut Kamarul telah membuat fitnah kepada beliau dan parti DAP, antara lainnya kerana menyebut pertama, Steven Sim adalah seorang ‘Evangelis Kristian’; kedua, orang-orang beragama Islam perlu sangat berhati-hati dan was-was apabila menerima apa-apa bantuan kewangan ataupun bantuan kebajikan daripada Steven Sim.

Ketiga, DAP boleh mengancam dan memudaratkan keutamaan dan kepentingan agama Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia dan keempat, DAP dengan sengaja mencari publisiti untuk kerja-kerja amal dan kerja-kerja kebajikan yang dibuat oleh wakil rakyat-wakil rakyatnya.

Sebelumnya, Kamarul juga telah menyaman Steven Sim kerana membuat fitnah kepada beliau, antara lainnya kerana menyebut, pertama, Kamarul menyatakan motosikal yang diberi kepada penerima bantuan motosikal tidak wujud; kedua, Kamarul menyatakan kedai menjual motosikal tidak boleh dikesan; ketiga, Kamarul mengganggu penerima bantuan motosikal dan keluarganya serta keempat, Kamarul melakukan perbuatan yang melampau dengan menawarkan RM2,000 ke atas penerima bantuan semata-mata untuk menyerang Steven Sim.

Dalam pada itu, Kamarul ketika dihubungi mengesahkan perkara itu tetapi tidak mahu mengulas lanjut mengenainya kerana beranggapan perkara-perkara teknikal tersebut bukanlah perkara besar yang perlu dijadikan isu.

“Saya sedar beberapa pihak yang saya saman sering menghebahkan kononnya saya kalah kes dan terpaksa membayar kos kepada mereka sedangkan ia hanyalah merujuk kepada bantahan awal pada peringkat pengurusan kes sahaja.

“Sebenarnya beberapa pihak yang saya saman juga turut terpaksa membayar kos kepada saya apabila bantahan awal mereka ditolak oleh mahkamah tetapi saya tidak mahu membesar-besarkan hal ini kerana ia hanyalah perkara teknikal,” katanya.

Kamarul sebelum ini mendapat perhatian ramai kerana keberanian beliau mengemukakan saman fitnah kepada ramai pemimpin DAP dan Parti Amanah Negara (amanah), termasuk lapan Ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Chong Chieng Jen, Steven Sim, Teresa Kok, Hannah Yeoh, Lim Lip Eng dan Wong Kah Woh dan 2 Ahli Parlimen Amanah iaitu Khalid Samad dan Hanipa Maidin.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya