KOTA BHARU: Dua pasar segar terkawal (PST) dibuka di negeri ini bagi memberi ruang kepada usahawan tani memasarkan produk masing-masing ketika dalam tempoh sekatan pergerakan penuh kali ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad berkata, salah satu PST tersebut dibuka di tapak Pasar Tani Kekal Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini.
Sebuah lagi PST kata beliau, dibuka di Pusat Operasi FAMA Machang.
“PST di RTC Tunjong setakat ini menempatkan 250 peniaga manakala PST Pusat Operasi FAMA Machang pula dikendalikan empat kakitangan bagi membantu memasarkan produk usahawan tani.
“Dalam tempoh 14 hari sekatan pergerakan penuh ini, pengguna boleh mendapatkan barangan keperluan makanan terpilih di kedua-dua PST ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu FAMA dilaporkan akan membuka PST di 43 lokasi terpilih di seluruh negara yang akan beroperasi setiap hari sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh kali ini.
Mengulas lanjut, Wan Nora berkata, orang ramai yang ingin berurusan di kedua-dua PST di negeri ini tersebut perlu mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan ditetapkan kerajaan.
Salah satu daripada garis panduan berkenaan adalah mengimbas kod Mysejahtera, mencatat suhu badan dan memastikan penjarakan fizikal selain dinasihatkan membuat bayaran secara bukan tunai sama ada atas talian, QR Pay atau e-dompet.
“Bilangan pengunjung dihadkan dengan kawalan yang munasabah serta tempoh masa yang dibenarkan antara 30 hingga 60 minit. Kanak-kanak 12 tahun ke bawah dan individu 70 tahun ke atas tidak dibenarkan masuk ke PST.
“PST di RTC Tunjong dibuka bermula pukul 7 pagi sehingga 2 petang manakala PST Pusat Operasi FAMA Machang dibuka pada pukul 8 pagi hingga 1 petang,” katanya. -UTUSAN ONLINE










