Rokok tanpa cukai bernilai lebih RM1.2 juta dirampas. - Utusan Malaysia

Rokok tanpa cukai bernilai lebih RM1.2 juta dirampas.

KOTAK berwarna coklat yang mengandungi rokok berjaya dirampas polis dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Sierra 6, Pusat Komersial Sierra Maharani, Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Polis berjaya mematahkan aktiviti jualan rokok tanpa cukai di daerah ini susulan rampasan sebanyak 8,550 karton rokok membabitkan nilai sehingga RM1.28 juta di sebuah premis di Jalan Sierra 6, Pusat Komersial Sierra Maharani, di sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, dalam operasi risikan selama 48 jam itu, pihaknya berjaya menemukan sejumlah kotak berwarna coklat dipercayai rokok tanpa cukai kastam.

“Dalam operasi kontraban pada pukul 4.30 petang bersama pihak Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, kita berjaya menemui sebanyak 171 kotak rokok di sebuah stor yang dijadikan tempat penyimpanan barangan itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 8,550 karton rokok pelbagai jenama di dalam kotak berwarna coklat yang disembunyikan di dalam premis dipercayai stor transit. Nilai rampasan berjumlah RM1.28 juta termasuk cukai Kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhd. Zailani, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Katanya, polis akan sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan perairan negara daripada dibolosi sindiket penyeludupan seperti itu.

Jelas beliau, sindiket berkenaan dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan daripada dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya