RM1 bilion tambahan tingkat vaksinasi - Utusan Malaysia

RM1 bilion tambahan tingkat vaksinasi

PETUGAS Jabatan Kesihatan Kelantan menunjukkan vaksin Covid-19 yang akan disuntik kepada penerima ketika proses pemvaksinan di PPV Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beberapa inisiatif tambahan dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat dan memperkasakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan nilai keseluruhan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah RM400 juta diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara sekali gus mencukupi untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

Menurut beliau, penambahan bekalan vaksin itu antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berusia 12 hingga 18 tahun dengan pelajar bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diutamakan.

“Saya juga ingin tegaskan, kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus. Ia telah menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam perutusan khas pengumuman bantuan itu, hari ini.

Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to Home dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta.

Katanya, sehingga hari ini, sebanyak 341 PPV dibuka di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan PPV IPT.

Beliau berkata, bayaran sagu hati yang diumumkan sebelum ini RM100 kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin.

“Saya juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14,000 barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan bermula bulan ini melibatkan eruntukan tambahan sebanyak RM200 juta sebagai pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan yang masih terus berjuang.

Beliau memberitahu, bagi menggalakkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dan mengurangkan tanggungan syarikat, sejumlah RM150 juta disediakan antara lainnya majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin Covid-19.

Katanya, kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan.

“Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan Covid-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV dan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan.

Antaranya, kata Perdana Menteri, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga RM30 atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN