Putuskan rantaian Covid-19 lebih penting - Utusan Malaysia

Putuskan rantaian Covid-19 lebih penting

MOHD. SHAHRIN ABDULL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Situasi pandemik Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda dalam masa terdekat menjadi antara sebab ibu bapa di sini menerima keputusan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilanjutkan 25 hari lagi.

Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia memaklumkan, meskipun berdepan kesukaran untuk memastikan anak-anak menguasai pembe­lajaran menerusi PdPR, namun mereka pasrah memandangkan keutamaan memutuskan ran­taian Covid-19 ketika ini adalah lebih mustahak.

Bagaimanapun, bagi Mohd. Shahrin Abdull Aziz, 37, masalah mungkin timbul sekiranya ibu atau bapa terpaksa memainkan peranan seperti seorang guru ketika mereka sendiri tidak memahami apa yang perlu diajar kepada anak masing-masing.

Bapa kepada empat anak itu berkata, ini kerana tidak semua ibu bapa mempunyai kemahiran mengajar seperti seorang guru.

“Bagi anak-anak yang mudah faham memang tak ada masalah. Tapi bagi yang susah faham, ibu bapa pula yang akan pening nanti.

“Cikgu diharap buat pemantauan juga dan jangan hanya beri kerja sekolah sahaja tanpa me­ngajar subjek tertentu,” katanya.

Kementerian Pendidikan me­ngumumkan sesi PdPR akan dimulakan sebaik sahaja sesi persekolahan dibuka pada 13 dan 14 Jun ini.

Perkara itu berjalan sehingga sesi cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai ini.

Sementara itu, Syahida Abdul Aziz, 36, pula menganggap keputusan melanjutkan sistem PdPR baik dari segi keselamatan untuk mengelakkan daripada terkena jangkitan di sekolah.

“Cuma saya lihat ibu atau bapa perlu berkorban lebih masa untuk anak mereka.

“Bagi ibu bapa yang bekerja dari rumah atau mempunyai anak yang ramai mungkin mereka juga agak kelam-kabut,” katanya. -UTUSANPutuskan rantaian Covid-19 lebih penting

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN