SEREMBAN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega yang pertama seumpamanya di Negeri Sembilan mula dibuka hari ini di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat Nilai di sini.
Beroperasi di Dewan Tuanku Canselor, USIM, PPV Institut Pengajian Tinggi (IPT) ini dijangka dapat memberikan sebanyak 1,500 dos suntikan vaksin Covid-19 sehari pada permulaannya sebelum dinaikkan kapasiti maksimum iaitu sebanyak 3,000 suntikan sehari selepas seminggu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kumpulan sasar penerima vaksin di PPV Mega ini adalah melibatkan penduduk kumpulan sasar merupakan penduduk khususnya di daerah Seremban.
“Di dalam dewan PPV ini juga boleh memuatkan sehingga lebih kurang 500 hingga 550 orang dalam satu-satu masa.
“Dalam usaha mencapai suntikan 3,000 orang sehari, kita akan menempatkan sehingga 30 ruang suntikan yang melibatkan 30 penyuntik pada satu-satu masa dengan purata suntikan 350 hingga 400 suntikan sejam menggunakan vaksin Sinovac,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke PPV Mega IPT di USIM di Nilai hari ini.
Tambah Aminuddin, bagi menggerakkan PPV Mega tersebut, ia akan melibatkan kira-kira 192 petugas yang sebahagian besar petugas perubatannya merupakan kakitangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM dan dilantik oleh pihak USIM Healthcare Sdn. Bhd.
“Semoga dengan pembukaan PPV Mega USIM ini dapat meningkatkan lagi kadar rakyat negeri ini yang menerima suntikan vaksin dan seterusnya menyumbang ke arah melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 di Negeri Sembilan dan negara.
“Sasaran kita supaya pemberian suntikan vaksin Covid-19 dapat ditingkatkan sehingga 20,000 dos sehari dan ia akan bermula hari ini di sini dan beberapa buah PPV lagi yang juga akan mula dibuka hari ini,” katanya.
Sementara tambah Menteri Besar, selain PPV Mega USIM, sebanyak lima buah PPV lagi akan mula dibuka hari ini sebagai tambahan kepada 94 buah PPV sedia ada di negeri ini ketika ini.
“Lima buah PPV itu ialah di Dewan Majlis Perbandaran Jempol, Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong 6, Dewan Orang Ramai Sendayan, Dewan Pusat Islam Rantau dan Dewan Besar Gemas di Tampin,” katanya. -UTUSAN ONLINE