Polis tubuh unit khas bersama CITF siasat aktiviti jual vaksin - Utusan Malaysia

Polis tubuh unit khas bersama CITF siasat aktiviti jual vaksin

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu unit khas ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat dakwaan aktiviti penjualan vaksin dan janji temu suntikan vaksin.

Perkara itu disahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.

“Kami mahu polis segera menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit dalam aktiviti menjual vaksin ini,” katanya.

Kata beliau, setakat ini, empat laporan polis dibuat CITF bagi menyiasat dakwaan itu.

Sebelum ini, CITF menegaskan, tiada vaksin atau slot janji temu boleh dijual sama sekali, malah, pemberian suntikan vaksin adalah percuma kepada semua penduduk di bawah PICK.

CITF turut menjelaskan bahawa tiada kelulusan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid- 19 (JKJAV) kepada mana-mana pihak untuk tujuan ini.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini juga mendedahkan aktiviti penjualan vaksin oleh syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian.

Menurut MMA, vaksin berkenaan dijual dengan harga kira-kira RM400 bagi dua dos untuk seorang individu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN