PKPD hanya tiga kawasan di Kampung Sungai Penchala - Utusan Malaysia

PKPD hanya tiga kawasan di Kampung Sungai Penchala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menegaskan hanya tiga kawasan di Kampung Sungai Penchala, di sini yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kawasan berkenaan adalah Jalan Sungai Penchala 11, Jalan Sungai Penchala 12 dan Jalan Sungai Penchala 12(A).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ini susulan terdapat kekeliruan yang timbul dalam kalangan penduduk berhubung lokasi spesifik pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

Katanya, selepas hari kelima pelaksanaan PKPD, masih ada lagi penduduk yang keliru, justeru hanya kawasan yang dinyatakan sahaja dikenakan pengawalan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Ingin ditegaskan bahawa pelaksanaan PKPD hanya membabitkan kawasan tertentu sahaja dan bukannya keseluruhan kawasan di dalam Kampung Sungai Penchala.

“Saya berharap kenyataan ini dapat memberikan gambaran jelas kawasan yang terbabit dengan PKPD dan mengelakkan kekeliruan serta memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk di kawasan sekitarnya terutama untuk tujuan bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Anuar, bagaimanapun, penduduk diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan tidak terbabit dengan PKPD.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN