TEHERAN: Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyerang kemudahan nuklear Iran meletakkan Asia Barat dalam situasi tidak menentu, dengan tumpuan dunia kini terarah kepada tindak balas Teheran.
Ketika dunia menantikan tindak balas Iran, pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan kempen pengeboman Israel pada 13 Jun sebagai ‘satu kesilapan besar’.
“Musuh Zionis sedang dihukum ketika ini,” tulis Khamenei di media sosial.
Bercakap di Istanbul kelmarin, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, negaranya mempunyai ‘pelbagai pilihan’ untuk bertindak balas terhadap serangan AS.
Daripada menyerang pangkalan tentera AS di rantau itu sehingga kemungkinan menutup laluan perairan penting untuk perkapalan global, Iran dipercayai mempertimbang langkah seterusnya.
SASAR KEPENTINGAN KETENTERAAN
Jika AS terlibat dalam konflik, Iran dijangka mengaktifkan rangkaian proksinya di Iraq, Yaman dan Syria menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Walaupun Hezbollah pernah menjadi sekutu terkuat Iran di Lubnan, kumpulan itu kini semakin lemah akibat serangan Israel.
Majlis Perhubungan Luar Negeri (CFR) melaporkan AS mempunyai kehadiran tentera di 19 lokasi di Asia Barat, dengan kira-kira 40,000 anggota dikerahkan di rantau itu sehingga 13 Jun.
Lapan daripada lokasi tersebut dianggap sebagai pangkalan tetap AS.
Iran berulang kali memberi amaran akan bertindak balas terhadap tentera dan kepentingan AS jika Washington menyertai perang.
Serangan baharu dari Yaman terhadap aset AS juga menjadi kebimbangan, dengan Houthi pernah berikrar menyerang kapal AS di Laut Merah jika wujud campur tangan dalam konflik Iran-Israel.
Pakar percaya Teheran mungkin memilih strategi perang berpanjangan untuk melemahkan musuh secara perlahan, memandangkan Iran tidak mampu menewaskan Israel dan AS dalam pertempuran secara langsung.
GANGGUAN DAGANGAN MINYAK GLOBAL
Iran mempunyai kuasa mempengaruhi perkapalan komersial di Teluk, sekiranya negara itu menutup Selat Hormuz.
Jika eksport minyak terjejas atau Iran cuba menyekat Selat Hormuz, pasaran minyak global boleh berdepan krisis besar.
Selat itu menghubungkan Teluk Parsi ke lautan terbuka dan menjadi laluan penting bagi eksport minyak serta gas asli cecair dari Asia Barat ke pasaran dunia.
Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA), 20 juta tong minyak dibawa melalui selat tersebut setiap hari.
Penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Iran menggesa serangan peluru berpandu dilancarkan serta Selat Hormuz ditutup sebagai tindak balas.
“Selepas serangan AS terhadap kemudahan nuklear Fordow, kini tiba giliran Iran,” kata wakil Ayatollah, Hossein Shariatmadari.
BINA SENJATA NUKLEAR
Iran berkemungkinan besar akan mempercepat usaha membina bom nuklear, walaupun kepemimpinan semasa runtuh dan digantikan dengan yang baharu.
Naib Presiden Eksekutif Institut Quincy di Washington, Trita Parsi mendakwa tindakan Trump hanya mempercepatkan aspirasi nuklear Iran.
“Trump baru sahaja memastikan Iran menjadi negara bersenjata nuklear dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.
Menurut Parsi, jika kepemimpinan semasa runtuh dan kuasa beralih kepada elemen ketenteraan yang lebih keras, Iran mungkin bersikap agresif dan berlumba membangunkan senjata nuklear sebagai satu-satunya bentuk pertahanan diri.
TERUS SERANG ISRAEL
Menyedari Iran mungkin tidak mampu menanggung perang berskala penuh dengan AS, Iran dijangka meneruskan serangan terhadap negara haram itu sambil berharap Trump akan mengurangkan penglibatan selepas serangan kelmarin.
Pakar Asia Barat, Mohammad Ali Shabani berkata, Trump mungkin akan mengulangi pendekatan sama seperti serangan 2020 yang mengorbankan komander Iran, Qasem Soleimani.
“Ketika itu, Trump mahu menghantar mesej besar, mendapat perhatian media, menunjukkan ketegasan AS, namun turut mengelak daripada perang besar-besaran,” katanya.
Walaupun Iran mungkin bertindak balas demi menjaga maruah, tindakannya berkemungkinan tanpa pertumpahan darah seperti insiden 2020, menerusi serangan peluru berpandu ke pangkalan AS di Iraq yang menyebabkan kecederaan kepada anggota tentera tanpa kematian.
SERANGAN SIBER
Dua penganalisis ketenteraan berpandangan, Iran mungkin beralih kepada tindakan ‘asimetrik’ seperti serangan siber atau keganasan.
“Saya rasa IRGC kini menilai keupayaan yang mereka miliki.
“Mereka akan lebih berhati-hati, dan kemungkinan besar akan beralih kepada tindakan asimetrik, serangan siber atau keganasan,” kata penganalisis keselamatan negara CNN, David Sanger.
Ketua Strategi Geopolitik di Academy Securities, Mejar Jeneral (B) James Spider Marks mendakwa, Israel mungkin melemahkan keupayaan Iran melancarkan peluru berpandu dalam jumlah besar.
Namun katanya, IRGC masih mempunyai keupayaan besar dan aset di dalam serta luar rantau itu.
KEMBALI BERUNDING
Iran sebelum ini enggan kembali ke meja rundingan selagi serangan Israel masih berterusan.
Arragchi berkata, ruang diplomasi semakin terhad selepas serangan AS.
Parsi pula berkata, tindakan itu menyebabkan Iran terperangkap.
“Matlamat Iran adalah memaksa Trump menghentikan perang namun Iran secara tidak langsung memberikan kuasa veto kepada Israel terhadap diplomasi AS-Iran,” katanya.









