Pengarah Malaysia terpilih sebagai menti BIFAN - Utusan Malaysia

Pengarah Malaysia terpilih sebagai menti BIFAN

RAY LEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA  : Pengarah filem kelahiran Sarawak, Ray Lee sekali lagi mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai seorang daripada 35 menti oleh Bucheon International Fantastic Film School (BIFAN).

Menurut kenyataan Biro Komunikasi, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ray berbangga menjadi satu-satunya wakil Malaysia dipilih untuk program itu di samping wakil-wakil dari 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Vietnam, Singapura, India, Indonesia, Jepun, China, Filipina dan tuan rumah Korea Selatan.

“Saya terima tawaran ini dan berjanji akan menaikkan nama Malaysia.  Saya amat teruja menerima tawaran di Fantastic Film School yang memang pakar dalam genre filem seram dan ngeri,”  kata kenyataan tersebut yang memetik Ray dalam hantaran Facebooknya.

BIFAN yang dikendalikan oleh Network of Asian Fantastic Films (NAFF) ialah program untuk pendidikan filem genre seram yang pertama di dunia.

Menurut kenyataan BIFAN, sesi ke-25 itu akan diadakan pada 8 hingga 14 Julai.

“Kelas akan dijalankan secara dalam talian menerusi pelantar Gather dan Clubhouse berikutan pandemik Covid-19,” kata kenyataan itu dalam laman sesawangnya.

Bertindak sebagai dekan untuk sesi BIFAN kal ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hanmac Culture, Jonathan Kim yang telah menerbitkan lebih 30 filem termasuk Piano Man (1996), A Promise (1998) Silmido (2003),  To Catch a Virgin Ghost (2004), Monopoly (2006) dan Jang-Gae: The Foreigner (2020).

Ray Lee yang juga ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia pernah memenangi anugerah pada  Asian Cinematography Awards di Filipina dan Singapore World Film Carnival melalui filem Belaban Hidup.

Selain itu filemnya turut termasuk dalam senarai ‘pemilihan rasmi’ dan ditayangkan pada  Russia International Horror Film Awards dan Macabo Mexico City International Horror Film Festival.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya