KUALA NERUS: Sifar pengalaman dalam bidang pertanian tidak menghalang seorang pemilik restoran ikan singgang premium di Pulau Redang di sini untuk mengusahakan kebun kecil di premis perniagaannya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Marzuki Abdullah, 45, memanfaatkan sepenuhnya masa terluang tidak beroperasi dari tahun lalu dengan menanam empat jenis sayuran iaitu cili besar dan cili padi di samping bendi serta terung di sekitar Restoran Redang Moon miliknya.
Kegigihan anak jati Pulau Redang itu meneruskan kelangsungan perniagaan sekali gus membolehkannya kini bergelar pembekal kecil-kecilan cili untuk para pekerja di lapan daripada keseluruhan 13 resort di destinasi pelancongan berkenaan selain dijual kepada penduduk kampung.
Menurutnya, walaupun hasil yang diperolehi cuma RM600 sebulan dan jauh lebih rendah berbanding pendapatan tahunan restoran sebanyak RM100,000, namun dia tetap berpuas hati dengan usaha yang dilakukan.
Marzuki berkata, dengan hanya bermodalkan RM1,000, dia juga berjaya mengubah suasana Redang Moon yang terletak di atas batu di pulau peranginan berkenaan kepada kawasan yang lebih hijau dan menyegarkan pemandangan sebagai persediaan menanti kedatangan pelanggan kelak.
“Pada Disember 2019 saya ada menanam beberapa pokok cili di restoran hingga timbul idea untuk membuat kebun kerana tidak tahu apa aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang tempoh PKP.
“Di peringkat permulaan saya cuma menggunakan plastik beras yang diperoleh dari resort-resort bagi menggantikan polibeg untuk melihat kesesuaian aktiviti penanaman di pulau di samping mengambil baja organik dan tanah di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Marzuki berkata, tanaman cilinya menjadi pilihan warga Pulau Redang termasuk pekerja resort kerana lebih segar berbanding dibeli di bandar yang lazimnya kurang berkualiti, malah nilai barangan tersebut juga tinggi kira-kira RM18 sekilogram walaupun harga cili di pasaran merudum.
Katanya, selepas lebih setahun terlibat dalam aktiviti pertanian dia kini memberanikan diri mencuba kaedah hidroponik dengan menanam kangkung, kacang botol dan kacang panjang.
Menurutnya, semua tanaman itu bakal dihidangkan dari kebun ke pinggan untuk pelanggan apabila operasi pulau peranginan bermula pada Mac tahun depan.
“Redang Moon boleh menempatkan seramai 12 pelanggan dalam satu-satu masa berdasarkan tempahan dan antara menu di sini ialah ikan singgang berharga dari RM180 di samping ikan panggang serta kuih-muih tradisi tempatan,” katanya.- UTUSAN ONLINE