PETALING JAYA: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar secara strukturnya tidak boleh dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kerana bukan merupakan seorang ketua parti komponen.
Pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, Pengerusi PN perlu dilantik dalam kalangan ketua-ketua parti komponen supaya semua keputusan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berpandangan sekiranya seorang Timbalan Presiden atau Naib Presiden dilantik menerajui PN, segala keputusan dicapai sukar dilaksanakan memandangkan Timbalan Pengerusi PN adalah di kalangan Presiden parti komponen.
“Bagaimana PN hendak berfungsi dengan baik jika Naib Presiden parti menjadi Pengerusi sedangkan Timbalan Pengerusinya adalah Presiden parti komponen? Dari mana punca kuasanya untuk memimpin gabungan?
“Jadi selain daripada ketua parti, secara strukturnya tak boleh untuk diangkat menjadi Pengerusi PN,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas diyakini mampu memperkuatkan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke16 dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas mandat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan menguatkan lagi spekulasi pelantikannya sebagai Pengerusi PN yang baharu.
Mohd. Redzuan berkata, berdasarkan Perlembagaan PN, Abdul Hadi sendiri sepatutnya dicalonkan sebagai Pengerusi PN memandangkan beliau merupakan Presiden Pas.
“PN sukar untuk berfungsi jika buka ketua parti yang menjadi Pengerusi. Bagaimana hendak melaksanakan keputusan jika ia bercanggah dengan arahan ketua-ketua parti masing-masing,” katanya. – UTUSAN










