Pelan Pemulihan Negara perlu fokus kadar pemulihan sebenar - Utusan Malaysia

Pelan Pemulihan Negara perlu fokus kadar pemulihan sebenar

Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumum kerajaan membolehkan pemulihan ekonomi separa menjelang akhir tahun ini sebelum pulih sepenuhnya tahun hadapan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan kelmarin lebih kepada pelan mitigasi menangani masalah sosioekonomi dan negara dijangka menyaksikan pemulihan ekonomi separa menjelang akhir tahun ini sebelum pulih sepenuhnya tahun hadapan.

Ini kerana, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan disemak kembali lebih rendah daripada enam hingga 7.5 peratus berikutan keadaan pandemik Covid-19 semasa selain kadar pengangguran semakin meningkat.

Penganalisis ekonomi bebas, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, sebelum membuat perbandingan, makna pemulihan sosioekonomi perlu difahami terlebih dahulu, yang boleh diertikan sebagai pencapaian tahap sebelum wabak melanda.

Ujarnya, apa yang agak penting dijadikan bandingan termasuklah paras KDNK, pengangguran dan gaji pekerja kerana pemulihan sebenar terjadi hanya jika apa yang sedang dicapai sekurang-kurangnya sama dengan tahap pada 2019.

“Dalam menilai prestasi seperti ini kita mudah keliru dengan angka pertumbuhan penunjuk-penunjuk tersebut, yang mungkin disajikan dalam sebutan bulanan dan tahunan. Pertumbuhan yang cergas bulan demi bulan tidak menunjukkan pemulihan sebenar jika disebut dalam tahunan.

“Prestasi yang cergas dari segi kadar pertumbuhan berbanding bulan sebelumnya tidak boleh dianggap sebagai satu pemulihan jika paras sebelum wabak ini masih belum dicapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Zakariah menjelaskan, penilaian prestasi pemulihan sepatutnya tidak dilihat daripada penunjuk ekonomi yang kurang berkaitan dengan isu sosial seperti keuntungan syarikat, prestasi eksport dan prestasi bursa saham.

“Ini kerana dengan mengambil sikap yang pragmatik, masalah yang mendesak buat masa ini ialah isu sosioekonomi, isu-isu lain adalah penting dibincangkan hanya dalam jangka sederhana dan panjang.

“Oleh itu, sama ada pelan ini dapat meyakinkan para pelabur atau tidak bukan isu utama kerana keyakinan pelabur itu sendiri menjadi kabur dalam konteks menangani wabak ini. Kecergasan pasaran saham tidak mempunyai kaitan yang erat dengan isu kesejahteraan isi rumah,” ujarnya.

Tambah beliau, pengecutan KDNK bermakna negara telah hilang beberapa jumlah nilai kekayaan barangan dan perkhidmatan yang ada dalam ekonomi domestik.

“Kita juga telah menyaksikan bilangan penganggur yang hampir mencecah sejuta orang yang biasanya sekitar setengah juta sahaja. Ramai pekerja terpaksa bekerja kurang 30 jam seminggu dan graduan terpaksa menceburi ekonomi gig,” jelasnya.
PPN yang diumumkan kerajaan kelmarin merangkumi empat fasa dan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat, bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa fasa seterusnya.

Pelan itu mengambil kira ancaman Covid-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital dan dijangka semua sektor ekonomi dapat dibuka semula pada fasa keempat pada November nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×