PETALING JAYA: Pelbagai pihak mempersoalkan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa pertama tanpa memperkenalkan mekanisme dan strategi baharu yang lebih berkesan.
Mereka berkata, melihat kepada statistik harian jangkitan, terbukti mekanisme kerajaan dalam fasa pertama hampir sebulan itu gagal dan perlu diubah suai untuk membolehkan rakyat beralih ke fasa seterusnya.
Jika sekadar menambah hari pelaksanaan, dikhuatiri angka jangkitan Covid-19 bukan sahaja tidak turun malah bertambah kerana rakyat mungkin mula ‘memberontak’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, indikator digunakan kerajaan menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah berat sebelah kerana hanya tertumpu kepada aspek kesihatan tanpa melihat kepada aspek ekonomi.
Menurut beliau, indikator ideal adalah dengan meletakkan soal ekonomi seperti kadar kehilangan pekerjaan, kadar pengurangan gaji dan kadar penutupan operasi bersama dalam PPN bagi mendapatkan timbal balik yang lebih jelas.
Kata beliau, penutupan ekonomi lebih lama memberi kesan lebih besar kepada ekonomi isi rumah dan kalangan peniaga, apatah lagi impak dari tahun lepas pun belum pulih dan kini ditimpa lagi masalah berulang.
“Jika tiada perubahan atau mekanisme positif untuk meredakan ancaman Covid-19, semakin ramai rakyat terkesan selain masalah itu diramal memakan masa lebih lama untuk pulih,” tegas beliau.
Mohd. Yusof memberitahu, jika kerajaan tiada kemampuan untuk memberi bantuan lebih menyeluruh, kerajaan perlu mempertimbang untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKP 3.0 tidak akan ditamatkan sebaliknya fasa pertama itu diteruskan sehingga jumlah jangkitan harian Covid-19 kurang 4,000 kes.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, kes jangkitan Covid-19 mustahil untuk turun bawah 4,000 sehari dalam tempoh sebulan, susulan kewujudan kluster kilang yang menyumbang angka tersebut.
Selain itu, katanya, kes dalam komuniti juga membimbangkan sekaligus menunjukkan perubahan untuk fasa seterusnya dalam masa terdekat sukar dicapai.
“Walaupun lebih 28 hari dilaksanakan total lockdown, setiap hari terus mencatatkan antara 5,000 hingga 6,000 kes. Kalau turun pun disebabkan ujian saringan swab harian adalah rendah. Ia tidak bermakna kes turun,” katanya.
Beliau berpandangan, kerajaan tidak wajar membuka lebih banyak sektor perniagaan malah sektor kilang yang menyumbang penularan jangkitan wajar ditutup buat sementara.
“Tindakan itu juga tidak adil apabila ramai yang terpaksa berkorban dengan ‘berkurung dalam rumah’ tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan.
“Kerajaan perlu berani ambil langkah baharu. Mungkin kena tutup kilang, tengok dua minggu apa hasilnya,” katanya.
Senada dengan beliau, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman pula berkata, selagi kluster kilang tidak diatasi segera, maka selagi itu kes tidak akan turun dan akhirnya seluruh rakyat bakal terbeban dengan sekatan pergerakan penuh yang tidak nampak bila boleh ditamatkan.
Namun, katanya, sektor perlu seperti kedai buku dan komputer serta peranti mesti dibuka kerana kedua-dua perkhidmatan amat penting untuk proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dan bekerja di rumah.
“Kalau kita hendak tunggu fasa kedua, perkara ini akan memakan masa. Jadi kerajaan perlu melonggarkan sekatan ekonomi tertentu agar rakyat boleh berbelanja dan ekonomi terus bertahan,’’ kata beliau. – UTUSAN










