KOTA BHARU: Barisan kepemimpinan negeri ini dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepakat memberi sumbangan masing-masing sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan menangani Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bersetuju menyumbangkan sebanyak RM15,000 manakala setiap Exco Kerajaan Negeri pula masing-masing akan memberi sumbangan sebanyak RM10,000.
Sementara itu, setiap ADUN Kelantan yang lain akan memberi sumbangan sebanyak RM3,000 seorang.
Ketika mengumumkan perkara tersebut, Ahmad memberitahu, kesemua sumbangan akan disalurkan kepada Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim atau turut dikenali sebagai Tabung Serambi Mekah.
Beliau dalam pada itu berkata, Kelantan menyambut baik inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) sebanyak RM40 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri ini turut memutuskan untuk memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan ketika dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara ketika ini.
“Menerusi Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta atau RM60,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diselaraskan oleh 45 Pusat Khidmat DUN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad turut memberitahu, bayaran cukai tanah semasa yang berakhir pada 30 Jun depan akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos dan denda lewat cukai tanah hanya akan dikenakan bermula 1 September depan.
“Saya sekali lagi menyeru seluruh rakyat Kelantan untuk segera mendaftar dan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
“Marilah kita terus berdoa agar petugas barisan hadapan diberi kekuatan dan ketabahan dalam menjalankan tugas yang sangat mulia ini dan semoga Allah SWT mengangkat wabak ini daripada kita semua,” katanya. -UTUSAN ONLINE










