Malaysia positif dapat hantar jemaah haji tahun ini - Utusan Malaysia

Malaysia positif dapat hantar jemaah haji tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia positif Kerajaan Arab Saudi akan mempertimbangkan kebenaran kepada jemaah negara ini untuk ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadat itu pada musim ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, biarpun sehingga saat ini kebenaran rasmi belum diperoleh daripada Kerajaan Arab Saudi, Malaysia meletakkan keyakinan dapat menghantar jemaah biarpun dalam jumlah sedikit.

“Kita masih menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi termasuk jumlah kuota yang dibenarkan namun kita berharap ada peluang cerah untuk menghantar jemaah walaupun tidak ramai,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, jika dibenarkan, kuota yang diberikan mungkin terhad dan pertimbangan utama yang dibuat kerajaan adalah kepada bakal jemaah haji yang berumur 18-60 tahun dan sihat tubuh badan tanpa sebarang penyakit kronik.

Selain itu, kata beliau, mereka perlu lengkap menerima imunisasi Covid-19 sama ada vaksin jenis Pfizer atau AstraZeneca sebagaimana kriteria yang ditetapkan Arab Saudi.

Pada masa sama, beliau mengulangi jangkaan kemungkinan besar Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hanya menghantar sejumlah 4,000 bakal jemaah memandangkan pihak pengurusan haji itu sudah menyenaraikan sejumlah itu untuk layak menerima vaksin Covid-19 .

Zulkifli sebelum ini memberitahu, keutamaan jemaah yang akan dilaksanakan pada tahun ini ialah mereka yang tidak dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu secara keseluruhannya.

Berikutan pandemik wabak Covid-19, Malaysia pada tahun lalu tidak dapat menghantar bakal jemaah haji ekoran penutupan pintu sempadan antarabangsa oleh kerajaan Arab Saudi.

Sebaliknya, negara itu hanya membenarkan 10,000 penduduk termasuk warga asing menetap di Arab Saudi sama ada bekerja atau belajar untuk menunaikan ibadah itu.

Bagaimanapun, media antarabangsa awal bulan ini melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mungkin memberi kebenaran sebanyak 60,000 jemaah dari luar negara pada musim kali ini.

Sekiranya dibolehkan, kumpulan haji pertama dijangka berlepas dari tanah air pada 12 Jun ini sehingga penerbangan terakhir seminggu sebelum wukuf di Arafah pada 19 Julai kelak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×