Malaysia negara pertama di dunia guna produk Ravida rawat Hepatitis C - Utusan Malaysia

Malaysia negara pertama di dunia guna produk Ravida rawat Hepatitis C

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia meluluskan penggunaan produk Ravida Tablet 200mg (Ravidasvir Hydrochloride 200mg) untuk merawat jangkitan virus hepatitis C kronik (HCV) dalam kalangan orang dewasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu dibuat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk pendaftaran bersyarat produk tersebut dalam mesyuarat kali ke-358, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang meluluskan penggunaan produk Ravida yang digunakan secara kombinasi dengan ubat lain bagi merawat jangkitan itu.

“Produk ini dikilangkan oleh Doppel Farmaceutici S.R.L, Itali yang mana Pharmaniaga Manufacturing Bhd. adalah pemegang pendaftaran produk tersebut di Malaysia.

“Jangkitan HCV merupakan isu kesihatan awam di negara ini dan Malaysia komited untuk menghapuskan HCV menjelang tahun 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, bagaimanapun, kos pengesanan dan rawatan menggunakan ubat Direct Acting Antivirals (DAA) pada masa ini memerlukan kos yang tinggi.

Oleh itu, katanya, terdapat keperluan untuk mencari penyelesaian alternatif dalam mendapatkan rawatan yang berkesan dengan kos yang lebih berpatutan.

Beliau memberitahu, Pelan Strategik Nasional bagi Hepatitis B dan C 2019-2023 dibangunkan Kementerian Kesihatan untuk merangka hala tuju yang jelas dan memastikan matlamat menghapuskan hepatitis B dan C dapat dicapai.

“Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) untuk memulakan inisiatif kolaborasi pada tahun 2016 bagi mengurangkan halangan daripada segi akses dan kemampuan untuk pesakit HCV mendapatkan rawatan di Malaysia.

“Hasil utama kerjasama ini adalah melalui pelaksanaan Kajian Klinikal HCV DNDi iaitu kajian STORM-C-1 yang dijalankan di enam fasiliti di Malaysia dan empat fasiliti di Thailand dan dapatan daripada kajian STORM-C-1 ini digunakan sebagai data utama bagi permohonan pendaftaran produk tersebut dan ia juga diterbitkan di jurnal ‘The Lancet Gastroenterology & Hepatology’ pada 15 April lalu,” katanya.

Pada masa sama, Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat produk Ravida® ini memerlukan pemegang pendaftaran produk untuk mengemukakan data tambahan dan terkini produk tersebut dari semasa ke semasa.

Katanya, ini bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya diperbaharui dan perbandingan manfaat-risiko bagi produk ini sentiasa positif. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya