NEW YORK: Universiti Columbia, kampus pertama yang mencetuskan protes pro-Palestin seluruh Amerika Syarikat (AS) mula menggantung pengajian mahasiswa-mahasiswa yang terlibat tunjuk perasaan dan mengingkari kata dua untuk bersurai.
Tindakan itu diambil berikutan hampir dua minggu protes terhadap perang Israel di Gaza yang melanda institusi pengajian tinggi berkenaan selepas kira-kira 100 penunjuk perasaan pertama kali ditangkap pada 18 April lalu.
Dalam tindakan keras terbaharu itu, pihak berkuasa di universiti berprestij di New York itu juga menuntut agar khemah-khemah penunjuk perasaan dibersihkan.
Bagaimanapun, seorang mahasiswa universiti berkenaan membacakan kenyataan;
“Taktik menakutkan yang menjijikkan ini tidak bermakna jika dibandingkan dengan kematian lebih 34,000 rakyat Palestin.
“Kami tidak akan berpindah sehingga Universiti Columbia memenuhi tuntutan kami atau digerakkan secara paksa,” kata pelajar yang tidak mahu memberikan namanya.
Beberapa jam kemudian, Naib Presiden Komunikasi Universiti Columbia, Ben Chang berkata, universiti itu mula menggantung pelajar sebagai sebahagian daripada fasa seterusnya usaha untuk memastikan keselamatan di kampus.
Beliau berkata, mahasiswa diberi amaran bahawa mereka akan digantung, tidak layak untuk menamatkan semester atau siswazah dan akan dihadkan daripada semua ruang akademik, kediaman dan rekreasi.
Sementara itu, di Universiti Texas di Austin, polis bertempur dengan penunjuk perasaan termasuk menggunakan semburan lada dan membuat tangkapan semasa membongkar perkhemahan, menambah lebih 350 orang yang ditahan di seluruh negara pada hujung minggu lalu.
“Tiada perkhemahan akan dibenarkan, sebaliknya, tangkapan sedang dibuat, kata Gabenor Texas Greg Abbott di media sosial.
Paul Quinzi, dari Persatuan Peguam Austin yang membantu mereka yang ditahan memberitahu AFP bahawa mereka menganggarkan sekurang-kurangnya 80 tangkapan dibuat dan jumlah itu berterusan.
Pelajar berkata, polis mengerahkan gas pemedih mata dan semburan lada untuk membersihkannya. -AFP










