Majikan sedih fikir nasib pekerja - Utusan Malaysia

Majikan sedih fikir nasib pekerja

MOHAMAD Fikri Hakim Mohd. Alwi menunjukkan pusat cuci kereta miliknya di Parit, Perak yang sudah lebih dua minggu tidak beroperasi ekoran pelaksanaan PKP. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: ‘Sedih memikirkan nasib pekerja’.

Itu yang dikongsikan pemilik pusat mencuci kenderaan Fikri Cleaning Service, Mohamad Fikri Hakim Mohd. Alwi, 28, kepada Utusan Malaysia sehingga mengakui pernah mengalirkan air mata mengenai nasib pekerjanya yang kehilangan pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak awal bulan ini.

Katanya, untuk itu dia terpaksa mencari alternatif lain membantu tiga pekerja tetap dan empat pekerja sambilan di bawahnya memperoleh pendapatan sepanjang PKP 3.0.

“Masa kerajaan umum PKP 3.0 bermula 1 Jun lalu, saya baru sahaja membeli barang-barang untuk kegunaan perniagaan, tapi bila dengar PKP saya terduduk.

“Masa itu saya menitis air mata sebab fikirkan apalah nasib pekerja-pekerja saya dan keluarga mereka, namun saya pujuk hati, semua ini untuk kebaikan semua disebabkan kes Covid-19 yang meningkat,” katanya di sini semalam.

Dia mengakui kecewa apabila beberapa perkhidmatan lain seperti kilang boleh beroperasi namun pusat cuci kereta tidak dibenarkan.

“Saya betul-betul kecewa, sedangkan kebanyakkan kluster datang daripada kilang tetapi tetap dibenarkan beroperasi tanpa memikirkan nasib kami peniaga pusat cuci kereta.

“Saya mohon kerajaan membenarkan kami pemilik pusat cuci kereta beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

Mohamad Fikri berkata, hatinya juga merintih apabila melihat pekerja-pekerjanya yang mempunyai keluarga memaklumkan kepadanya mereka perlu kerja dan duit untuk perbelanjaan harian.

Katanya, untuk itu dia terpaksa mencari alternatif lain untuk membantu mereka dan kini cuba memproses jus nanas dan menjualnya supaya pekerjanya ada sumber pendapatan.

“Masa PKP pertama dahulu saya terpaksa tutup kilang membuat perabot milik saya selepas tidak mampu bertahan dan ramai yang hilang pekerjaan,” katanya.

Menurut Mohamad Fikri, sebelum PKP 3.0 dilaksanakan dia menjalankan perkhidmatan dengan cara mengambil dan menghantar kereta yang mahu dicuci.

Katanya, ketika itu ramai yang menggunakan khidmatnya untuk memastikan keselamatan masing-masing dan mungkin kaedah itu boleh diguna semasa PKP ini.

“Saya rasa tiada masalah sekiranya pusat cuci kereta dibuka untuk pelanggan di kawasan berhampiran sahaja supaya kami dapat beroperasi atau tidak kami terpaksa menutup perniagaan,” katanya.

Dia berharap pihak kerajaan dapat membenarkan mereka beroperasi dan tidak boleh menunggu sehingga PKP 3.0 berakhir tanpa diketahui bila akan akan ditamatkan.

“Tolonglah benarkan kami beroperasi, kami benar-benar terdesak dan fikirkanlah peniaga kecil seperti kami bukan hanya pemilik-pemilik kilang sahaja,’ katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN