PETALING JAYA: Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus memperagakan peningkatan memberangsangkan apabila mencatat masa 10.17 saat (s) dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Tom Jones Memorial di Gainesville, Florida, semalam.
Catatan tersebut bukan sahaja antara terbaiknya sejak kebelakangan ini, malah memberi isyarat jelas bahawa pelari pecut negara itu semakin hampir kembali ke prestasi puncak.
Penuntut Auburn University itu menamatkan saingan di kedudukan ke-14 keseluruhan, namun tetap mencuri perhatian sebagai pelari ketiga terbaik universiti berkenaan.
Saingan tersebut turut menyaksikan rakan sepasukannya, Kanyinsola Ajayi dan Israel Okon menguasai dua kedudukan teratas dengan catatan 9.90s dan 9.95s.
Momentum semasa yang dipamerkan Azeem memberi bayangan positif terhadap peluangnya menjelang kejohanan besar termasuk Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September.
Azeem sebelum ini sudah membuktikan keupayaannya apabila meraih pingat gangsa dalam acara sama di Sukan Asia 2022.
Untuk rekod, beliau masih memegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakar di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia. – UTUSAN










