Lantikan pegawai perubatan harus telus, tidak prejudis - MMA - Utusan Malaysia

Lantikan pegawai perubatan harus telus, tidak prejudis – MMA

SUBRAMANIAM MUNIANDY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dicadangkan untuk melakukan penilaian dan pengambilan doktor kontrak atau tetap secara telus tanpa wujud prejudis atau diskriminasi terhadap sesuatu kaum dan bangsa.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Subramaniam Muniandy berkata, beliau turut membantah cadangan untuk graduan perubatan khususnya golongan bumiputera untuk berkhidmat secara tetap atau sebaliknya bagi mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Katanya, Malaysia memerlukan individu terbaik dan cemerlang untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa dipengaruhi oleh perbezaan etnik, agama, kepercayaan atau jantina.

“Semua doktor dilatih untuk merawat setiap pesakit secara adil tidak kira bangsa, agama, kepercayaan, etnik atau status sosioekonomi mereka. Dengan itu kami berharap Kementerian Kesihatan turut memberikan layanan yang sama terhadap kakitangannya.

“Cadangan baru-baru ini adalah bersifat diskriminasi dan menghina usaha serta sumbangan semua doktor yang berkhidmat kepada masyarakat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19 ini.

“Kerajaan perlu memimpin dalam menyatupadukan rakyat bukan mencetus perselisihan dalam kalangan golongan profesional,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan 55 peratus graduan universiti tempatan enggan meneruskan kerjaya dalam bidang profesional apabila memasuki alam pekerjaan termasuk perubatan disebabkan gaji tidak setimpal dan syarat ketat untuk mendapatkan status profesional.

Negara dilaporkan menghasilkan 6,000 siswazah perubatan setiap tahun merangkumi dari dalam dan luar negara yang menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air.

15 Jun lalu, akhbar ini turut melaporkan, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail mengunjurkan 60 peratus atau 3,600 daripadanya adalah siswazah perubatan golongan bumiputera.

Bagaimanapun, hanya 50 peratus bersamaan 1,800 siswazah daripada jumlah tersebut diserap ke dalam perkhidmatan berdasarkan perjawatan sedia ada selepas masing-masing menamatkan kontrak manakala selebihnya dijangka menganggur.

Pada 16 Jun, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPPK), Datuk Dr. Zainal Ariffin pula menggesa kerajaan meneliti semula urusan pengambilan dan penempatan pegawai perubatan atau lantikan baharu di dalam Kementerian Kesihatan.

Ini bagi membolehkan mereka khususnya bumiputera dapat berkhidmat secara tetap dan kerajaan dapat menentukan jumlah sebenar diperlukan untuk ditempatkan di sesuatu kawasan perkhidmatan kesihatan jika ada taburan bilangan pegawai perubatan yang jelas.

23 Jun lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba menegaskan pengambilan doktor graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan, malah diteruskan seperti kaedah beberapa tahun lalu.

Adham bagaimanapun tidak menyebut soal perlantikan dan pengambilan pegawai perubatan ditentukan berdasarkan kaum atau bangsa namun mengambil maklum tentang perkara tersebut.

Untuk rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mac lalu mendedahkan kadar pengangguran di negara ini secara keseluruhan seramai 782,500 orang berbanding 772,900 penganggur pada Disember tahun lalu selain siswazah bumiputera adalah paling ramai menganggur iaitu 122,100 orang atau 71.7 peratus. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya