Kes ingkar SOP naik lagi dengan ramai ditahan rentas kawasan - Utusan Malaysia

Kes ingkar SOP naik lagi dengan ramai ditahan rentas kawasan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 866 individu diberkas dengan seramai 779 daripadanya dikompaun manakala 24 lagi direman. 

 Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi ialah merentas kawasan dan makan di premis dengan 229 kes diikuti tidak memakai pelitup muka iaitu 154 kes.

 Katanya, ia disusuli kesalahan lazim tiada penjarakan fizikal (151), gagal merekod butiran diri (88), tidak patuh arahan PKP (81), membawa penumpang secara berlebihan (50) dan lain-lain (113).

 “Seramai 17 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan tujuh kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng dengan sebanyak 143 buah bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara kita melalui 11 aktiviti penglihatan yang dibuat oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 546 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 521 peruncit, 147 pemborong dan 32 pengilang serta melakukan sejumlah 2,381 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 25 premis dikompaun, 11 lagi diberi nasihat dan empat dikenakan amaran. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN