Syed Saddiq umum tak bertanding dalam pemilihan Muda

Syed Saddiq umum tak bertanding dalam pemilihan Muda

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk mana-mana jawatan dalam pemilihan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata, alasan utama yang menghalang dirinya bertanding pada pemilihan itu adalah disebabkan ikrarnya untuk membersihkan namanya daripada tuduhan penyelewengan terlebih dahulu.

Katanya, walaupun telah dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan namun pihak kerajaan memilih untuk merayu terhadap pembebasan sepenuhnya diberikan tersebut.

Tambahnya, pada ketika ini beliau sedang menunggu proses perundangan selanjutnya iaitu di peringkat Mahkamah Pesekutuan bai es dihadapinya.

“Saya menghadapi proses ini sepenuhnya dengan sabar dan secara telus. (Namun) Pada masa sama, Muda sedang membuat persediaan untuk pemilihan parti yang pertama.

“Untuk membenarkan isu perundangan peribadi walaupun seberapa tidak adil sekali pun namun menghalang kemajuan parti yang dibina atas semangat reformasi adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Muda mesti bergerak ke depan. Atas sebab itu, saya telah memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti kali ini. Saya tetap berpegang teguh pada prinsip bahawa Muda dan Malaysia berhak mendapat kepimpinan yang lebih putih daripada putih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Syed Saddiq berkata, sehingga namanya benar-benar dibersihkan sepenuhnya dan muktamad, adalah tidak wajar untuknya memohon sebarang jawatan yang boleh mengganggu, memecah belah atau menjejaskan perjuangan parti.

“Muda lebih besar daripada saya. Tiada individu yang lebih besar daripada parti dan tiada parti yang lebih besar daripada Malaysia.

“Dengan penuh rendah hati, saya mengambil langkah ke belakang agar Muda dapat melangkah ke hadapan. Saya akan terus percaya, menyokong dan mempertahankan nilai-nilai yang menjadi asas penubuhan Muda.

“Saya akan terus menunggu dengan tenang, tegas dan penuh keyakinan untuk membersihkan nama saya sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN