KUALA LUMPUR: Kerajaan terus mencari jalan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat berikutan perang yang tercetus antara Israel bersama Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedutaan-kedutaan di Asia Barat bertugas sepenuh masa dan terus memantau keselamatan rakyat Malaysia di rantau itu.
Kata beliau, kerajaan kekal komited mencari jalan untuk membawa pulang rakyat Malaysia kembali ke tanah air dan jauh dari zon perang itu.
“Pertama yang mahu pulang itu akan diuruskan penerbangan (mereka) walaupun masih belum dapat laluan lagi kerana kawasan itu dianggap sebagai kawasan yang tidak selamat, yang boleh beberapa penerbangan dari Arab Saudi.
“Itu pun melalui Turkiye , Asia dan kembali ke sini tetapi keputusan kita ialah mencari jalan, membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang walaupun perjalan di Teluk itu masih terhalang. Saya tidak boleh beri jawapan lebih daripada itu sehingga keadaan lebih reda,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Kira-kira terdapat lebih 29,000 rakyat Malaysia di Rantau Asia Barat yang sebahagian besar berada di empat buah negara iaitu Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.
Sementara itu, Anwar memaklumkan terdapat sebahagian rakyat Malaysia di sana menyerbu kedutaan untuk berlindung sehingga ia menjadi sesak.
“Mereka menerima anak-anak Malaysia yang merasakan perlu perlindungan di kedutaan,” katanya.-UTUSAN











