IPOH: Kerajaan negeri akan memanggil Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) untuk mendapat penjelasan berhubung isu pembinaan projek kolam udang di kawasan hutan bakau Kuala Bagan Tiang di Parit Buntar.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek termasuk mendapat maklum balas pihak terlibat sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Saya akan panggil pihak pengurusan PPPNP untuk melihat status pemilikan tanah tersebut, bila dan kepada siapa ia diluluskan selain status pengusaha kolam itu sendiri. Setelah saya dapat kesemua maklumat ini, baru boleh kita bincangkan.
“Kita kena ambil kira semua faktor sama ada di pihak PPPNP, nelayan mahupun pengusaha kolam itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan, penduduk Kuala Bagan Tiang membantah dua projek akuakultur ternakan kolam udang kerana merosakkan hutan kayu bakau di kawasan berkenaan.
Dua projek masing-masing berkeluasan 19 dan 80 hektar yang diluluskan oleh PPPNP kepada sebuah syarikat itu didakwa akan menjejaskan pendapatan nelayan setempat.
Memetik kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof di laman Facebooknya, beliau berkata, projek berkenaan juga akan menjejaskan keselamatan kampung berdekatan kerana terdedah kepada bahaya ribut dan tsunami ekoran kemusnahan hutan kayu bakau.
Katanya, penduduk kampung juga terdedah kepada air pasang yang melimpah ke kawasan perumahan berdekatan.
“Penduduk mencari sumber rezeki di hutan kayu bakau sekitar dan apabila projek kolam udang ini diluluskan, ia akan menjejaskan pendapatan mereka yang sudahpun tertekan dengan kesan Covid-19.
“Kepentingan penduduk tempatan harus didahulukan untuk mengekalkan kehidupan tradisi generasi nelayan di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










