PUTRAJAYA: Gerakan Belia 4B Malaysia mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan pemberi pinjam wang berlesen beroperasi, seolah-olah menggalakkan rakyat berhutang.
Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, kebenaran beroperasi pada waktu yang salah itu sekadar menyampaikan mesej moral songsang terhadap masyarakat untuk lebih berhutang.
“Ramai mempersoalkan sama ada agensi kredit itu tergolong dalam sektor perlu yang perlu dibuka ketika ini sedangkan banyak lagi sektor lain terpaksa ditutup.
“Kami bimbang langkah ini akan disalah guna oleh sindiket ah long yang mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat ketika ini,” tegasnya.
Beliau mengulas notis pemakluman pada 23 Jun memutuskan pemberi pinjam berdaftar tersebut yang dijenamakan sebagai Kredit Komuniti adalah dibenarkan beroperasi.
Statistik Bahagian Kawalan Kredit Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan terdapat sejumlah 4,537 agensi tersebut di seluruh negara tahun lalu.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, seandainya kredit komuniti diberi kebenaran beroperasi tanpa kawalan, ia dikhuatiri menjadi punca kemusnahan rakyat yang kini terkesan akibat Covid-19.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ini berikutan rakyat bakal dibebani dengan kadar faedah yang terlampau tinggi dan tempoh pinjaman terlalu panjang selain terpaksa melalui terma-terma pinjaman yang tidak masuk akal.
“Perkara ini perlu dikawal dengan ketat dan bukan dibuat sewenang-wenangnya kerana boleh memberi implikasi besar kepada masyarakat yang kini tersepit akibat Covid-19.
“Malah jika kerajaan mahu kawal syarikat-syarikat yang beroperasi sekalipun, mereka perlu dipantau dengan kerap agar tiada peminjam yang teraniaya,” katanya kepada di sini semalam.
Beliau berkata, kerajaan perlu menambah bilangan kakitangan untuk memantau dan memastikan tiada masalah membabitkan peminjam dan syarikat terutama berkenaan kadar faedah dan juga tempoh pinjaman dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Namun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan tidak mahu orang ramai khususnya peniaga-peniaga kecil meminjam dengan ah long atau ceti haram sekiranya tidak membenarkan sektor kredit komuniti (KK) beroperasi ketika ini.
Katanya, kerajaan menerima permintaan daripada golongan itu supaya sektor tersebut dibenarkan untuk beroperasi bagi membolehkan mereka melakukan pinjaman meneruskan kelangsungan perniagaan. -UTUSAN










