Kenyataan tiada PPV di Pagoh, Gambir berniat buruk - Utusan Malaysia

Kenyataan tiada PPV di Pagoh, Gambir berniat buruk

DR. SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan bersama tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa tiada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam kawasan Perdana Menteri di Parlimen Pagoh sama sekali tidak berasas dan jelas berniat buruk bagi memberikan tanggapan negatif terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha PN Negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menjelaskan, pembukaan PPV adalah berdasarkan kesesuaian dan dibuka mengikut keperluan dan ketiadaan fasiliti itu di Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir iaitu kawasan diwakili Muhyiddin tidak bermakna tiada sebarang usaha dibuat untuk mewujudkannya bagi memudahkan penduduk.

Beliau berkata, sebagai ketua kerajaan yang bertanggungjawab, Perdana Menteri telah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi membuka PPV.

Malah, ujarnya, dalam mesyuarat pada Isnin lalu, Kementerian Kesihatan telah memberikan pandangan bahawa betapa perlunya untuk menambah PPV di daerah Muar sebelum memutuskan untuk membuka PPV baharu di Dewan Serbaguna Pagoh dan Dewan Muafakat Johor, Bukit Gambir.

“Usaha mewujudkan dan menambah bilangan PPV terutama di Muar telah lama dilaksanakan. Sebagai wakil rakyat DUN Bukit Kepong, saya juga telah menyuarakan hasrat kepada kerajaan agar dibuka PPV di kawasan yang saya wakili.

“Alhamdulillah, hasil mesyuarat bersetuju membuka PPV Dewan Serbaguna Pagoh yang dijangka dibuka pada 6 Jun ini, manakala PPV di Bukit Gambir dalam masa terdekat tertakluk kepada keputusan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita bertajuk ‘Wakil rakyat PH terkejut kawasan Muhyiddin tak ada pusat vaksin’ yang memetik kenyataan bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan ADUN Skudai, Tan Hong Pin.

Kata Dr. Sahruddin, setiap tindakan yang sudah, sedang dan bakal diambil oleh kerajaan adalah berdasarkan keputusan dibuat secara musyawarah dan kolektif melibatkan agensi, jabatan serta pihak yang berkaitan.

“Usahlah kita mempolitikkan sebarang isu yang bukan di dalam pengetahuan kita, sebaliknya saya menyarankan kepada ketiga-tiga wakil rakyat PH ini untuk mengambil peluang memberi perkhidmatan terbaik dengan memberi keselesaan kepada rakyat yang hadir bagi menerima vaksin di PPV dalam kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) yang diumumkan Perdana Menteri membuktikan kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan terhadap isu kemaslahatan serta kelangsungan hidup rakyat di lapangan.

Dr. Sahruddin yakin kerajaan amat sedar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini juga akan memberikan implikasi besar kepada ekonomi negara mahupun rakyat.

“Ia juga adalah antara ikhtiar bagi memutuskan rantaian jangkitan dalam memastikan pandemik Covid-19 berjaya dikawal dan diuruskan dengan baik oleh kerajaan, cabaran yang dihadapi pihak industri dan rakyat di lapangan tetap diberikan fokus,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya