Kementerian Kerja Raya tawar suntikan vaksin 40,000 pekerja binaan - Utusan Malaysia

Kementerian Kerja Raya tawar suntikan vaksin 40,000 pekerja binaan

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menawarkan suntikan vaksinasi Covid-19 untuk 40,000 pekerja di dalam sektor pembinaan.

Menteri Kanannya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui program tersebut, pihak swasta perlu menyediakan dan membiayai sendiri pasukan petugas, pegawai perubatan bertauliah serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) manakala bekalan dan penghantaran vaksin diberikan secara percuma oleh pihak kerajaan.

Katanya, CIDB akan menyelaras dan memudahcara pelaksanaan program pemberian vaksin itu bagi pihak industri pembinaan yang mana ia adalah sebahagian dari sumbangan CIDB dalam membantu penggiat industri pembinaan terutamanya di waktu yang mecabar ini.

“KKR sudah membentangkan cadangan pelaksanaan program vaksinasi sektor pembinaan kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Isnin lepas dan ia telah dipersetujui. Caj pemberian vaksin yang dikenakan melalui program ini adalah sebanyak RM140 seorang untuk dua dos suntikan vaksin yang lengkap.

“Bagi meringankan beban kewangan di pihak industri, CIDB memberikan subsidi RM50 untuk seorang pekerja dan juga menawarkan premis CIDB sebagai PPV secara percuma. Ini bermakna majikan di dalam sektor pembinaan hanya perlu membayar RM90 untuk setiap seorang pekerja yang divaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penyertaan untuk program itu adalah secara sukarela dan penggiat industri pembinaan boleh memilih untuk mengadakan program pemberian vaksin sendiri kepada pekerja mereka dengan berurusan secara terus dengan CITF.

“Program pemberian vaksin yang diselaraskan oleh CIDB itu menyasarkan pekerja sektor pembinaan dan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 30 Jun ini serta seluruh negeri Selangor pada 14 Julai.

“Penggiat Industri Pembinaan yang ingin mendaftarkan pekerja mereka dalam program pemberian vaksin, boleh berbuat demikian bermula 21 Jun di http://vaccine.cidblink.com atau hubungi talian 03-40428880 untuk pertanyaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya