JOHOR BAHRU: Kapasiti penggunaan katil hospital di negeri ini belum mencapai tahap kritikal sehingga menjejaskan kegunaan pesakit luar seperti yang berlaku di sebuah hospital di Kedah.
Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, pihaknya akan cuba mencari jalan yang terbaik bagi memastikan isu itu dapat dielakkan sebaiknya.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai pelan kontigensi yang akan diambil sekiranya angka pesakit Covid-19 terus meningkat hingga memaksimumkan penggunaan katil hospital.
“Alhamdulillah kita cuba yang terbaik untuk menangani isu ini. Doakan kami semua petugas barisan hadapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, gambar dua pesakit terpaksa menerima rawatan atas pengusung di Hospital Jitra, Kubang Pasu memberi gambaran jelas situasi genting pandemik Covid-19 di Kedah ketika ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, keadaan tersebut berlaku berikutan kekurangan katil ekoran peningkatan pesakit positif Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, dua pesakit berkenaan bukan melibatkan pesakit Covid-19, sebaliknya kes biasa sementara menunggu katil kosong dan mereka telah ditempatkan di katil biasa.
Dalam pada itu, Dr. Aman mengingatkan rakyat di negeri ini untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika negara sedang berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Katanya, dengan cara itu secara tidak langsung dapat melandaikan jumlah kes Covid-19 harian yang dicatatkan di negeri Johor.
“Saya harap orang ramai dapat mematuhi SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana kita sedang menjalani PKP,” katanya. – UTUSAN ONLINE










