GEORGETOWN: Kerajaan negeri sedang meneliti secara terperinci kaedah pelaksanaan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti sasaran di Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, unit kerajaan tempatan sedang menjalankan kajian berhubung kaedah serta syarat yang sesuai bagi memilih mereka yang layak menyertai program berkenaan.
Jelas beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti sasaran di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bagi setiap DUN, dijangka 1,000 orang akan terpilih dan bagi fasa pertama kira-kira 40,000 individu di 40 DUN akan menjalani program saringan secara besar-besaran itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang merangka pelan konkrit program vaksinasi bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini membabitkan 40 DUN.
Kon Yeow berkata, pendekatan itu bakal meningkatkan jumlah saringan selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.
Menurut Jagdeep, pihaknya berharap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat memainkan peranan dengan mengenal pasti kelompok komuniti yang sesuai bagi menjalani program saringan secara besar-besaran itu.
“Ini kerana ADUN dan Ahli Parlimen kawasan lebih dekat dengan komuniti dan mereka tahu kelompok sasaran mana yang layak menyertai program ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE